Ahad, 16 Jun 2013

Gempa Besar San Fransisco 1906 : Imbauan Kembali Peristiwa Bersejarah Dunia

Gambar selepas kejadian gempa San Fransisco 1906.

Gempa bumi besar California pada 18 April 1906 merupakan salah satu kejadian gempa yang paling signifikan dalam sejarah. Pada hari ini, perkara yang paling penting datang daripada sumber-sumber pemahaman saintifik yang berkembang selepas kejadian tersebut. Patahan pada bahagian paling utara berjarak 296 batu (477 km) Sesar San Andreas, yang bermula di bahagian barat daya San Juan Bautista ke bahagian simpang tiga Cape Mendocino, sesar berkenaan telah dikaji dari aspek saiznya, larian mendatar pada sesar berkenaan dan kepanjangan patahan besar yang berlaku.

Sesar San Andreas di California ini terdiri daripada dua set sesar. Set yang utama berjurus barat laut dan hampir selari dengan  garis pantai. Di darat, set ini boleh dikesan sepanjang 1,800 km antara Point Arena dan Teluk California. Set kedua pula berjurus timur-timurlaut. Diantaranya terdapat Sesar Garlock dan Sesar White Wolf yang mana bercirikan sesar anjakan ke kiri.


Di kawasan pertemuan kedua set sesar di sebelah utara Los Angeles didapati terdapat sejumlah sesar sungkup yang berjurus timur-barat. Arah sungkupan bagi sesar berkenaan samada ke selatan mahupun ke  utara. Sekitar kawasan metropolitan Los Angeles juga, terdapat sedimen Tertiar yang telah terlipat kepada antiklin bersusun rencong. Anjakan mendatar ke kanan sebesar 4 meter dan ada yang lebih pendek juga berlaku disepanjang ruas sesar San Andreas yang bergerak dan menyebabkan kerosakan dikawasan San Fransisco pada tahun 1906.

Berdasarkan kajian geologi yang dilakukan disekitar Sesar San Andreas dan juga kawasan California, pentafsiran kewujudan Sesar San Andreas ditafsirkan telah wujud sebelum zaman Kapur dan sejak itu, selama 120 juta tahun lampau, sesar berkenaan telah mewujudkan anjakan ke kanan sejauh 580 km. Kadar anjakan tahunan yang dicadangkan ahli geologi terhadap Sesar San Andreas berjulat antara 4.0 cm dan 8.0 cm. 


Menceritakan kembali kejadian 1906 itu, dimana jam menunjukkan hampir tepat pukul 5.12 a.m. waktu tempatan, foreshock (gelombang awal gempa) dengan kekuatan yang cukup dirasai oleh penduduk di teluk San Fransisco. Gempa bumi kuat pula menyusul selepas itu dalam jangkawaktu 20 hingga 25 saat, dengan kawasan pusat gempa terletak di San Fransisco. Gegaran kuat pula tiba-tiba menyusul selepas gelombang gempa bumi itu, yang berlarutan sehingga 45 hingga 60 saat.

Gempa bumi berkenaan telah dirasai dikawasan selatan Oregon sehingga ke selatan Los Angeles dan kawasan sejauh tengah Nevada. Satu pencirian bagi kekuatan ledakan gempa berkenaan yang ditulis oleh Lawson (1908) melaporkan satu perhubungan yang jelas antara kekuatan ledakan gempa dengan geologi kawasan berkenaan. Kawasan San Fransisco terletak di kawasan lembah yang telah dipenuhi dengan sedimen bawaan daripada kawasan tinggi. Apabila berlaku gempa, gelombang gempa bumi akan dirasai lebih kuat pada batuan yang lembut berbanding pada batuan asalan. Perkara ini telah dikaji oleh ramai ahli kaji bumi iaitu dibawah Latihan Zon Seismik Moden (Modern seismic-zonation practice).

Sumber: USGS (Gambar, artikel), Tjia. H.D., Tektonik. m.s. 62-69. 1990. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan