Ahad, 24 November 2013

Letusan Gunung Berapi Sinabung 2013

Gunung Sinabung sedang mengeluarkan debu halus- @euronews

Sebuah gunung berapi iaitu Gunung Sinabung yang terletak di bahagian barat Indonesia telah meletus 8 kali hanya dalam beberapa jam sahaja, The Telegraph melaporkan hari ini. Letusan tersebut telah menyebabkan berlakunya hujan debu-debu gunung berapi selain memaksa ribuan penduduk sekitar kaki gunung Sinabung keluar dari kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan The Jakarta Post, debu-debu letusan gunung Sinabung telah merebak ke kawasan Medan, di utara Indonesia, sehingga memaksa operasi penerbangan di Kuala Namu International Airport di Deli tergendala seketika. Debudebu gunung berapi yang terampai di udara boleh mendatangkan risiko kepada sektor penerbangan kerana debu-debu berkenaan terbina daripada partikel-partikel halus yang tajam dan berasid yang boleh merosakkan enjin kapal terbang.

Untuk info, Gunung Sinabung telah mula meletus pada september lalu, namun aktiviti volkanik dan seismik semakin tinggi pada lewat sabtu dan awal ahad, dimana gunung berkenaan mengeluarkan debu-debu halus yang tajam serta serpihan batuan volkanik sejauh 5 batu ke udara.

Sebahagian penduduk meninggalkan kediaman masing-masing selepas terdengar bunyi letusan yang kuat yang kedengaran dari Gunung Sinabung tersebut. Bunyi seperti guruh beserta gegaran akibat pengeluaran bahan volkanik dari gunung berapi tersebut. Agensi Volkanologi telah mengeluarkan amaran tahap tertingg iaitu tahap 4 , yang bermaksud letusan yang kuat dan pada skala bencana.

Gunung Sinabung merupakan gunung berapi jenis stratovolcano, wujud sejak zaman Pleistosen dan terletak pada jujukan Rantai Api Pasifik (Pacific Ring of Fire). Gunung ini pertama kali meletus pada september 2010. Jujukan Rantai Api Pasifik cukup terkenal didunia sebagai satu garisan disepanjang kawasan Asia Pasifik sehingga ke lembangan lautan pasifik yang mempunyai aktiviti seismik & gunung berapi yang aktif.

Sumber: The Telegraph, The Jakarta Post

Sabtu, 23 November 2013

Cuaca Ekstrem 2013

Pada 14 November lalu, Agency France- Presse (AFP) mengeluarkan satu gambar rajah mengenai peristiwa-peristiwa berkenaan pencuacaan yang berlaku sepanjang tahun 2013 sehingga 8 November lalu. Peristiwa-peristiwa tersebut termasuklah peristiwa kemarau besar, taufan & puting beliung, cuaca panas lampau serta banjir besar.


Menurut saintis, tahun 2013 merupakan tahun ke-7 terpanas yang pernah dicatatkan saintis semenjak penciptaan termometer. Purata suhu bumi pada tahun 2013 dicatatkan pada 14.47 darjah celsius. Suhu panas lampau juga berlaku merentas hampir di setiap benua bermula di benua Australia iaitu di Sydney pada 8 Januari 2013 iaitu musim panas negara itu yang mencatatkan 45.8 darjah celcius. Ini diikuti di kawasan Vioolsdrif , Afrika Selatan yang mencatatkan 47.3 darjah celcius pada 4 Mac 2013.

Pada 8 Ogos 2013, benua eropah tidak terkecuali apabila Austria mencatatkan bacaan suhu 40.5 darjah celsius manakala benua Asia iaitu negara China mencatatkan bacaan suhu sebanyak 40.0 darjah celcius sepanjang bulan Julai hingga Ogos manakala Jepun di wilayah Shimanto mencatatkan rekod bacaan 41.0 darjah celcius pada 12 Ogos 2013 lalu. 

Bagi segmen kemarau teruk pula, benua Amerika Selatan adalah yang paling teruk terkena tempiasnya apabila negara Mexico & Brazil masing-masing mencatatkan kemarau paling teruk dalam sejarah selain New Zealand yang mencatatkan rekod kemarau terburuk sepanjang 10 tahun lepas. Kebanyakkan negara di benua Amerika Selatan terletak dibawah garisan Khatulistiwa selain mempunyai jumlah keluasan hutan hujan yang tinggi selain hutan hujan Borneo.

Episod banjir besar juga tidak terkecuali. Banjir besar berlaku di Argentina (2 April), Eropah- Sungai Danube & Elbe (Mei-Jun) & Nepal (Jun).

Bagi segmen taufan dan puting beliung pula, Amerika Syarikat mencatatkan 2 episod puting beliung maut iaitu puting beliung Moore & El Reno. Di Mexico, dua episod taufan dalam satu-satu masa berlaku pada 15 September manakala di Britain, ribut 'Christian' yang berlaku pada 28 Oktober 2013 adalah yang paling kuat pernah melanda negara itu sejak tahun 2002 lagi. Di Perancis, puting beliung kategori EF-3 telah melanda pada 19 Jun 2013, paling teruk sejak tahun 2008.

Di India, Taufan Phailin yang terbentuk di lautan Hindi membadai negara itu pada 11 Oktober 2013, adalah taufan yang paling kuat melanda sejak tahun 1999. Di Filipina pula, dua taufan yang melanda negara itu telah menyebabkan bahagian tengah Filipina lumpuh teruk. Taufan pertama yang melanda adalah Taufan Usagi pada 21 September 2013 diikuti Taufan Haiyan @ Yolanda yang berlaku pada 8 November 2013. Haiyan telah menyebabkan kawasan kepulauan Samar, Tacloban dan Leyte lumpuh teruk serta menyebabkan ribuan mangsa terkorban.

Dalam pada masa yang sama, saintis menjangkakan, 'sikap' dan 'kelakuan' taufan, puting beliung serta ribut akan menjadi lebih 'liar' dan ganas pada masa depan akibat perubahan cuaca yang tidak terkawal ini.

Sumber: AFP

Selasa, 19 November 2013

Taufan Super Haiyan 2013

Taufan Super Haiyan atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Yolanda merupakan Taufan yang paling kuat dalam tahun 2013 yang dicatatkan setakat ini. Taufan Haiyan merupakan taufan ke-13 mengikut sistem penamaan musim taufan di lembangan Pasifik bagi tahun 2013.


Taufan Super Haiyan: pemandangan daripada stesen ISS -Sumber twitter NOAA
 
 
Haiyan terbentuk daripada kawasan yang mempunyai tekanan rendah beberapa ratus kilometer dari kawasan Mikronesia pada 2 November 2013 dan bergerak tenggara. Pertembungan antara udara bertekanan rendah (bersuhu rendah) dengan udara bertekanan tinggi (suhu tinggi) telah menyebabkan ketakstabilan pada atmosfera lalu menbentuk ribut.  Semasa bergerak , Haiyan memperkuatkan kelajuan dan bertukar kepada ribut tropika sehari kemudian. Pada 5 November 2013, Pusat Amaran Taufan (JTWC) memberi amaran tentang system taufan Haiyan berada pada kategori 5 iaitu paling tinggi dalam skala angin dan taufan Saffir-Simpson.



Perbandingan kekuatan antara taufan Katrina dengan Taufan Super Haiyan yang dikeluarkan NOAA.


Seterusnya, pada 7 November 2013 , Agensi Meteorologi Jepun (JMA) meningkatkan tahap kekuatan Haiyan kepada kategori 'Taufan' dengan kekuatan pusaran angin mencapai 235 km/h (145 mph). Walaubagaimanapun, 4 jam kemudian, JTWC mengganggarkan kelajuan Taufan Haiyan mencapai kelajuan 315 km/h (196 mph), menjadikan Haiyan sebagai ke-empat terkuat yang pernah direkodkan. Beberapa jam kemudian, titik tengah Taufan Super berkenaan membuat pendaratan pertama dikawasan daratan iaitu di kawasan Guiuan, Timur Samar di tengah Filipina tanpa ada perubahan pada kekuatan angin sedikit pun.

 

Dengan menghala ke arah barat laut iaitu ke arah Laut China Selatan, Taufan Super Haiyan membuat sekurang-kurangnya lima kali pendaratan di kawasan tengah Filipina. Ia menyebabkan kemusnahan yang teruk khususnya dikawasan tengah Filipina, iaitu dikawasan kepulauan Samar dan Leyte. Menurut kenyataan daripada United Nation (UN), dianggarkan 11 juta orang terkesan daripada kejadian bencana alam ini dan juga hilang tempat tinggal.

Sumber: NOAA

Isnin, 18 November 2013

Industri Perlombongan Berlian di Rusia

Masa depan industri perlombongan berlian Rusia sangat bergantung kepada Alrosa. Alrosa merupakan sebuah syarikat perlombongan yang memegang 97% daripada jumlah keseluruhan perlombongan di Rusia dan 24% kuantiti pengeluaran dunia. Rusia, dipercayai mempunyai simpanan berlian terbesar didalam bumi, sehingga mencecah 3.6 billion tan (anggaran). Kebanyakkan longgokan dijejaki di sekitar Republic of Sakha (Wilayah Yakutia) dan Arkhangelsk Oblast, yang kedua-duanya terletak di bahagian utara Rusia.

Geografi
Wilayah Yakutia dipercayai menyimpan 80% kandungan daripada jumlah keseluruhan simpanan berlian Rusia manakala Arkhangelsk Oblast dipercayai mengandungi 18% simpanan. Hampir kesemua berlian simpanan Rusia adalah daripada jenis paip-paip kimberlit, selain mendapat plaser.

Pada masa yang sama, kualiti berlian di Rusia mempunyai kelebihan dari segi gred purata dan kualiti batuan perumah berbanding longgokan sama jenis yang ditemui di Afrika Selatan. Wilayah Yakutia meliputi kawasan seluas 3 juta km2 dan lebih kecil sedikit jika dibandingkan dengan India, namun, populasi penduduknya hanyalah 900,000 orang.

Secara kasarnya, 40% daripada wilayah tersebut terletak diatas garisan Artik, dimana musim sejuk kadangkala boleh mencecah -50 Celsius. kebiasaanya, pekerja disini sudah terbiasa dengan suhu sejuk lampau dan mengetahui bahawa prospek berlian adalah sangat bernilai tinggi.

Jumlah simpanan berlian dikawasan ini dijangka akan meningkat apabila proses-proses penjelajahan secara bersepadu dilakukan, disokong oleh penggunaan teknologi berkeupayaan tinggi dalam bidang ekplorasi mineral bernilai tinggi.

Berlian Impak
Berhubungan dengan perkara diatas, kerajaan Rusia bercadang untuk melombong apa yang dipanggil sebagai 'berlian impak'- berlian yang dihasilkan/dijana oleh impak meteorit. Berlian impak terletak di longgokan Popigai dalam sempadan antara wilayah Krasnoyarsk dan Yakutia.

Berpandukan kepada pengulasan terkini mengenai berlian impak ini, proses pemineralan berlian impak di Rusia khususnya boleh mencecah trillion karat, iaitu, dianggarkan melebihi jumlah keseluruhan simpanan berlian dunia.

Walaubagaimanapun, berlian impak ini mempunyai pencirian yang berbeza. Ianya mungkin lebih keras daripada berlian konventional atau berlian buatan yang ada. Ianya boleh digunakan dalam pelbagai industri berteknologi tinggi termasuklah elektronik, optic, dan pembuatan kanta berkualiti tinggi.

Menurut pengkaji lagi, longgokan terkandung di dalam Popigai boleh menyamai tahap permintaan berlian dunia selama 3,000 tahun lagi.

Sumber: Engineering & Mining Journal, September 2013

Ahad, 16 Jun 2013

Gempa Besar San Fransisco 1906 : Imbauan Kembali Peristiwa Bersejarah Dunia

Gambar selepas kejadian gempa San Fransisco 1906.

Gempa bumi besar California pada 18 April 1906 merupakan salah satu kejadian gempa yang paling signifikan dalam sejarah. Pada hari ini, perkara yang paling penting datang daripada sumber-sumber pemahaman saintifik yang berkembang selepas kejadian tersebut. Patahan pada bahagian paling utara berjarak 296 batu (477 km) Sesar San Andreas, yang bermula di bahagian barat daya San Juan Bautista ke bahagian simpang tiga Cape Mendocino, sesar berkenaan telah dikaji dari aspek saiznya, larian mendatar pada sesar berkenaan dan kepanjangan patahan besar yang berlaku.

Sesar San Andreas di California ini terdiri daripada dua set sesar. Set yang utama berjurus barat laut dan hampir selari dengan  garis pantai. Di darat, set ini boleh dikesan sepanjang 1,800 km antara Point Arena dan Teluk California. Set kedua pula berjurus timur-timurlaut. Diantaranya terdapat Sesar Garlock dan Sesar White Wolf yang mana bercirikan sesar anjakan ke kiri.


Di kawasan pertemuan kedua set sesar di sebelah utara Los Angeles didapati terdapat sejumlah sesar sungkup yang berjurus timur-barat. Arah sungkupan bagi sesar berkenaan samada ke selatan mahupun ke  utara. Sekitar kawasan metropolitan Los Angeles juga, terdapat sedimen Tertiar yang telah terlipat kepada antiklin bersusun rencong. Anjakan mendatar ke kanan sebesar 4 meter dan ada yang lebih pendek juga berlaku disepanjang ruas sesar San Andreas yang bergerak dan menyebabkan kerosakan dikawasan San Fransisco pada tahun 1906.

Berdasarkan kajian geologi yang dilakukan disekitar Sesar San Andreas dan juga kawasan California, pentafsiran kewujudan Sesar San Andreas ditafsirkan telah wujud sebelum zaman Kapur dan sejak itu, selama 120 juta tahun lampau, sesar berkenaan telah mewujudkan anjakan ke kanan sejauh 580 km. Kadar anjakan tahunan yang dicadangkan ahli geologi terhadap Sesar San Andreas berjulat antara 4.0 cm dan 8.0 cm. 


Menceritakan kembali kejadian 1906 itu, dimana jam menunjukkan hampir tepat pukul 5.12 a.m. waktu tempatan, foreshock (gelombang awal gempa) dengan kekuatan yang cukup dirasai oleh penduduk di teluk San Fransisco. Gempa bumi kuat pula menyusul selepas itu dalam jangkawaktu 20 hingga 25 saat, dengan kawasan pusat gempa terletak di San Fransisco. Gegaran kuat pula tiba-tiba menyusul selepas gelombang gempa bumi itu, yang berlarutan sehingga 45 hingga 60 saat.

Gempa bumi berkenaan telah dirasai dikawasan selatan Oregon sehingga ke selatan Los Angeles dan kawasan sejauh tengah Nevada. Satu pencirian bagi kekuatan ledakan gempa berkenaan yang ditulis oleh Lawson (1908) melaporkan satu perhubungan yang jelas antara kekuatan ledakan gempa dengan geologi kawasan berkenaan. Kawasan San Fransisco terletak di kawasan lembah yang telah dipenuhi dengan sedimen bawaan daripada kawasan tinggi. Apabila berlaku gempa, gelombang gempa bumi akan dirasai lebih kuat pada batuan yang lembut berbanding pada batuan asalan. Perkara ini telah dikaji oleh ramai ahli kaji bumi iaitu dibawah Latihan Zon Seismik Moden (Modern seismic-zonation practice).

Sumber: USGS (Gambar, artikel), Tjia. H.D., Tektonik. m.s. 62-69. 1990. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.

Sabtu, 15 Jun 2013

Fosil cengkerang Zaman Perm berusia 260 juta tahun lalu ditemui di Kuala Lipis

 "Fosil ini dapat menerangkan usia dan persekitaran dimana ianya pernah wujud ratusan juta tahun lampau" katanya

Fosil brakiopod yang ditemui di Sungai Yu, Merapoh: gambar Sinar Harian Online

Pada 13 Jun lalu, Sinar Harian Online melaporkan tentang sebuah penemuan fosil cengkerang yang dipercayai berusia 260 juta tahun di kawasan Sungai Yu, Merapoh. Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) , Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cengkerang itu ditemui pada batuan di sepanjang jalan raya yang sedang dalam pembinaan. Jalan raya berkenaan akan menghubungkan Kuala Lipis ke Merapoh apabila ianya siap kelak.

Menurutnya lagi , fosil cengkerang berkenaan ditemui dalam perlapisan batu lumpur dan ianya adalah daripada jenis 'brakiopoda' yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek pada masa berkenaan. Merujuk kembali kajian-kajian terdahulu, kawasan Merapoh telah tersingkap beanyak fasies batuan berkapur dan sebagainya, yang pada akhirnya telah ditentukan usianya, iaitu Perm Atas (299 - 272 juta tahun lalu) oleh Nuraiteng (1993), manakala Batu Kapur disini telah dikenali sebagai Batu kapur Merapoh oleh Azhar Hussin (1990).


Selain itu, kawasan Merapoh juga tersingkap unit batuan syal yang juga kaya dengan fosil. Mohd Shafeea Leman (1994) mengenalpasti usia unit batuan syal sebagai Perm Akhir (254-252 juta tahun lalu) berasaskan jumpaan fosil brakiopod leptodus. Di kawasan berhampiran juga terdapat selang lapis nipis batu kapur dengan syal. Dalam kedua-dua unit batuan ini terdapat fosil Perm Atas. Selain daripada fosil Perm Atas, terdapat juga batu kapur yang mempunyai fosil Trias (252 - 201 juta tahun lalu). Oleh itu, usia batu kapur Merapoh berjulat antara Perm Atas hingga Trias. Jujukan ini adalah sambungan daripada Formasi Gua Musang.

Formasi Gua Musang adalah Formasi yang terdiri daripada beberapa jenis unit/ fasies batuan, antaranya ialah batu kapur (dominan), batu kapur berargilit, syal, batuan volkanit dan batu lodak. Ianya terdiri daripada beberapa unit atau fasies batu kapur yang berbeza. Formasi ini telah lama diperkenalkan oleh Yin pada tahun 1965, untuk batuan yang terdapat di sekitar Gua Musang, Kelantan selatan.

Lantai lautan kuno dipenuhi hidupan primitif

Berbalik kepada fosil yang ditemui di Sungai Yu ini, fosil berkenaan dikatakan berusia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, Lipis yang berusia 230 juta tahun pada 2011 lalu. Antara spesies brakiopoda yang dikenal pasti termasuklah Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.

Menurut Ahmad Rosli yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI) UKM, kira-kira 250 hingga 260 juta tahun lalu, kawasan Merapoh dipercayai berada di dasar lautan dan kawasan itu menjadi tempat kehidupan laut purba yang primitif. 

Haiwan primitif ini hidup dengan berenang bebas didasar lautan yang agak dalam serta pada iklim panas. Hidupan ini mati dan kemudiannya tertimbus oleh enapan sedimen dan kekal terawet menjadi batu untuk beratus juta tahun lamanya. Proses geologi mengangkat dasar lautan kuno terbabit ke permukaan bumi lalu menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang kita lihat pada hari ini.

Menurut Ahmad Rosli lagi, fosil cengkerang seperti ini turut ditemui di kawasan Padang Tengku; Aring; Sg bera serta Felda Mayam dan ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut juga pernah dilitupi lautan pada masa berkenaan. "Fosil dapat menerangkan usia dan persekitaran dimana ianya pernah wujud ratusan juta tahun lampau" katanya.


Sejarah negara bukan hanya terletak pada zaman sebelum kemerdekaan atau semasa zaman Puteri Gunung Ledang/ Hang Tuah, tetapi ianya juga merangkumi penceritaan jutaan tahun lampau, zaman sebelum manusia wujud dan semasa bumi dipenuhi hidupan primitif.

Dapatkah kita semua bayangkan bahawa tempat yang kita duduki sekarang adalah sebuah kawasan yang berbeza pada suatu masa dahulu? Mari muhasabah diri kita. Bagaimana semua itu boleh berubah? Ya. Semua ini perlukan kajian yang lanjut dan terperinci untuk menjawab segala persoalan berkenaan. Percayalah. Semua ini bukanlah permainan sains atau cerita sains fiksyen semata-mata. Malah, ianya adalah sebuah ilmu yang tidak semua orang tahu dan sudah diceritakan dalam kitab Al-Quran lagi. Segalanya atas kekuasaan Allah. Bumi kita bersifat sangat fleksible, dan segala yang berlaku (proses alam) mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Kita patut berbangga, kerana mempunyai pengkaji-pengkaji tempatan yang hebat-hebat, yang terdiri daripada pelbagai pecahan ilmu. Apa yang perlu kita, sebagai rakyat biasa lakukan, adalah dengan menjaga bumi kita, khususnya Malaysia dengan sebaiknya. Jangan biarkan khazanah warisan alam kita yang berusia jutaan tahun terus dinodai dek  kemajuan dan pembangunan. Inilah warisan dan sejarah yang kita ada. Inilah warisan yang kita bakal tinggalkan untuk generasi akan datang. Jika semua khazanah ini dihancur musnahkan terus tanpa ada sedikit tinggalannya, jadi, apa yang kita ingin ceritakan kepada generasi akan datang selain sejarah kemerdekaan negara? fikir-fikirkan lah.

Ahad, 9 Jun 2013

Beribu-ribu penduduk Jerman dipindahkan selepas Empangan Elbe pecah

Beribu-ribu penduduk dikawasan utara Jerman telah dipindahkan dari rumah masing-masing selepas kejadian banjir dan empangan Elbe yang pecah, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan anggota penyelamat.

Berikutan kejadian tersebut, sekurang-kurangnya 21 orang telah terkorban dalam kejadian banjir besar yang melanda kawasan tengah Eropah selepas beberapa sungai utama iaitu Sungai Danube, Elbe dan Vlatava telah melimpah selepas hujan lebat, lalu melumpuhkan beberapa kawasan di bahagian selatan dan tengah Jerman, Republic Czech, Australia, Slovakia dan Hungary.

Kejadian terbaru iaitu seorang warga emas berusia 80-an yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung semasa membersihkan sisa bawaan banjir di Austria pada ahad lalu, menurut berita yang dilaporkan agensi berita Jerman.



Selain itu, lebih 80,000 penduduk di kawasan Aken dan kawasan perkampungan Saxony-Anhalt, Jerman telah dipindahkan dengan menggunakan bas selepas berita kerosakan Empangan Elbe dilaporkan, kata pengawai polis, Uwe Holz.

Di Magdeburg, di kawasan bandar, lebih 3,000 penduduk dinasihatkan untuk meninggalkan kediaman masing-masing selepas paras air banjir yang semakin naik dan bekalan elektrik yang terputus.

Di Hungary pula, kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak kerajaan menyatakan, paras air yang tinggi di Sungai Danube dijangkakan akan berterusan sehingga ahad, dan langkah berjaga-jaga terus diambil bagi mengelakkan air sungai melimpah ke kawasan pusat bandar.

Perdana menteri Hungary, Viktor Orban berkata, tiada kerosakan yang berlaku di Hungary, namun, 7,000 askar dan ribuan sukarelawan telah dikerahkan untuk meletakkan beg-beg berisi pasir disepanjang tebing sungai Danube bagi mengawal laluan air daripada melimpah.

Sabtu, 8 Jun 2013

Ulangtahun ke- 230 Letusan Gunung Berapi Laki, Iceland

Laki, Iceland

8 Jun 2013 adalah salah satu tarikh yang amat bersejarah kerana ianya menandakan ulangtahun ke-230 letusan terkenal Laki di Iceland- salah satu daripada letusan gunung berapi terbesar dalam sejarah bumi. Letusan berkenaan bukannya bermaksud satu letusan besar yang berasosiasi dengan aktiviti gunung berapi yang bersifat major seperti Tambora dan Krakatau. Namun, 'besar' di Letusan Laki bermaksud ianya memberi kesan yang amat mendalam terhadap manusia yang hidup di kawasan himesfera utara selepas letusan itu berlaku. Impak langsung daripada letusan berkenaan masih lagi menjadi perdebatan hangat para ahli kaji bumi sehingga kini.



Letusan Laki yang bermula pada 8 jun 1783 sehingga februari 1784, bukanlah satu peristiwa yang berlaku dalam jangka masa yang singkat, kerana proses aliran lavanya yang berlarutan sehingga 8 bulan serta letupan debu-debu halus volkanik- dianggarkan ~14.7 km2 lava bsalt yang dikeluarkan daripada 140 corong lava sepanjang 23-km set-set rekahan dan kon-kon gunung berapi. Oleh itu, tidak hairanlah, saintis kaji bumi menggelarkannya sebagai letusan lava jenis basaltik terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah.

Isipadu debu-debu volkanik yang halus ini, agak sukar dibayangkan, namun, ianya boleh menutupi seluruh kotaraya Boston (~232km2) dengan ketebalan basalt hampir ~63 meter. Cara lain: Kilauea, salah satu kawasan yang paling aktif dibumi, mengeluarkan lava jenis basalt kira-kira ~4.0 km3 sejak tahun 1983 sehingga kini. Ini bermakna, letusan Laki 3.6 kali banyak mengeluarkan lava basaltik hanya dalam masa 8 bulan.


Peristiwa ini tidak termasuk letusan yang berlaku berdekatan dengan kawasan Laki, iaitu Grímvötn. Letusan di Grímvötn dianggarkan meletus lebih kurang 8 kali, bermula dalam tempoh sejak Mei 1783 sehingga Mei 1785. Kedua-dua episod letusan ini dikaitkan dengan dengan 'Episod tektonik-volkanik' yang membekalkan magma ke kawasan rekahan di Laki dan juga Grímvötn.

Letusan di Laki ini mempunyai trend yang sama dengan episod letusan gunung berapi yang lain. Ianya bermula dengan beberapa siri gempa bumi dalam jangka masa 3-4 minggu sebelum letusan pertama pada 8 Jun 1783. Secara mudahnya, sesuatu permulaan letusan volkanik baru akan mengikuti urutan kejadian-kejadian berikut: gempa bumi, penjanaan rekahan baru dan gegaran letupan yang pendek (lava berinteraksi dengan air bawah tanah).

Sebahagian letusan ini akan menghasilkan puncak berbukit-bukit dan ada yang mencecah setinggi 15 km (~50,000 ft) dimana pancuran lava setinggi 800-1400 meter. Apabila lava yang kali pertama mengalir daripada kawasan rekahan yang baru, sesetengah kadar letusan adalah sangat tinggi (~8,600 m3/s). Hampir 90% daripada letusan lava berlaku pad 5 bulan pertama.



Kesannya, dianggarkan 122 Mt sulfur dioksida telah dilepaskan oleh letusan Laki ini, dimana 95 Mt berada pada lokasi troposfera atas dan stratosfera bawah. Oleh itu, gas beracun ini bergerak pada aras pergerakkan jet dan teredar diseluruh kawasan hemisfera utara. Jerebu beracun ini dengan pantas memasuki ruang udara Eropah dan pada 1 Julai 1783, jerebu ini dilaporkan memasuki rung udara China. 

Tiada rekod sejarah banyak melaporkan kehadiran jerebu ini memasuki ruang udara Utara Amerika, namun kajian daripada lilitan batang kayu daripada kawasan Alaska, menunjukkan bulan Julai sehingga Ogos 1783 , suhu adalah pada kadar yang sejuk, walaupun sebenarnya pada bulan berkenaan adalah peralihan musim panas dengan musim luruh. Populasi penduduk di Alaskan pada masa berkenaa juga dilaporkan menurun secara mendadak manakala dalam catatan sejarah lain menggelarkan tahun berkenaan sebagai Summer that did not come”, turut merujuk kepada letusan Laki berkenaan.

Secara global pula, 95 Mt bagi gas Sulfurik dioksida telah dilepaskan ke atmosfera lalu membentuk 200 Mt aerosol asid sulfurik. Hampir 90% daripada asid sulfurik yang terbentuk itu bertukar sebagai hujan asid atau jerebu, manakala 10% lagi baki sulfurik asid terbebas ke udara bertahun lamanya. Perkara ini mungkin penjelasan terbaik, mengapa suhu kawasan hemisfera utara 1.3 Celsius dibawah suhu normal bagi 2-3 tahun selepas episod letusan Laki berkenaan.

Asid sulfurik berkenaan turut merosakkan hasil tanaman di hampir kebanyakkan negara di Eropah ketika itu. Debu halus daripada letusan Laki di Iceland bergerak sejauh Venice, Itali dan beberapa tempat didunia.


Kejadian letusan gunung berapi merupakan salah satu kejadian alam yang jarang berlaku, namun, jika ianya berlaku, kita tidak dapat elakkan. Apa yang kita dapat lakukan, jauhi kawasan yang sudah diketahui aktif aktiviti seismologinya, dan kurangkan kehilangan nyawa semasa letusan berlaku. Perlu diingat, aktiviti gunung berapi bukanlah sesuatu yang menyusahkan dan hanya bencana semata-mata, namun, terdapat impak positif yang kita perolehi selepas ribuan/jutaan tahun ianya berlaku. Emas, perak, gangsa, timah dan pelbagai mineral berharga lain datang dari aktiviti ini. Sesungguhnya, sesuatu kejadian itu ada hikmahnya dan Allah jualah sebenar-benar perancang yang terbaik.

Peluang untuk Siswazah menganggur: Skim Peningkatan Kemahiran Siswazah (G.E.E.S) daripada Petronas


Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Petronas telah menubuhkan satu skim yang dipanggil 'Skim Peningkatan Kemahiran Siswazah atau Graduate Employability Enhancement Scheme (G.E.E.S).

Skim yang juga dipanggil SL1M-GEES-Petronas ini ditubuhkan bertujuan bagi memberi latihan dan kemahiran untuk meningkatkan pemasaran dan memperluas bidang pekerjaan Siswazah Malaysia. Program ini juga mempunyai objektif bagi meningkatkan pasaran pekerjaan di kalangan siswazah menganggur serta memantapkan proses peralihan daripada dunia akademik kepada dunia perniagaan dengan memberikan tumpuan yang kritikal terhadap soft-skills pelajar dan juga menyediakan kaedah pembelajaran melalui pengalaman dalam membangunkan nilai-nilai murni dalam diri siswazah ketika berada ditempat kerja.

Program latihan ini akan memberi tumpuan kepada proses pembinaan soft-skills pelajar. Selama 8 bulan tempoh yang diperlukan bagi menamatkan program ini, dimana dua bulan akan dikhaskan untuk pembinaan soft-skills pelajar manakala 6 bulan pula dikhaskan untuk on-job-training (OJT) di beberapa lokasi pejabat Petronas yang terpilih.

Bagi 2 bulan pertama (untuk latihan soft-skills) sebanyak RM 500 elaun saraan diri disediakan dimana makanan dan tempat tinggal disediakan kepada peserta, manakala bagi tempoh 6 bulan training di pusat-pusat petronas terpilih, elaun sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada peserta dalam tempoh berkenaan.

Maklumat lanjut berkenaan bagaimana cara mendaftar, bolehlah layari laman sesawang ini: http://www.discoverpetronas.com/gees/

Jumaat, 7 Jun 2013

Gempa Bumi Jamaica 7 Jun 1692

Pada 7 Jun 1692, sebuah gempa bumi kuat, dianggarkan berukuran 7.5 pada skala richter telah menggegarkan kawasan Kepulauan Jamaica.

Perbandingan garis pantai tahun 1962, selepas episod gempa dan  garis pantai kini.

Pada 7 Jun 1692, sebuah gempa bumi kuat, dianggarkan berukuran 7.5 pada skala richter telah menggegarkan kawasan Kepulauan Jamaica. Gempa bumi yang berlaku pada waktu pagi, lebih kurang pukul 11.43 pagi  telah menjana ombak tsunami 12 meter lalu menyebabkan lebih 2,000 nyawa terkorban akibat gempa bumi berkenaan manakala 3,000 lagi terkorban akibat serangan penyakit selepas bencana berkenaan.

Port Royal, Jamaica merupakan sebuah pelabuhan yang terletak di laut Caribbean yang kaya pada masa berkenaan. Aktiviti perkapalan dan perdagangan antarabangsa berkembang pesat, lalu, memberi kesan kepada perkembangan bilangan penduduk serta populasi sosial di kawasan berkenaan. Namun, tidak disedari, Jamaica juga terletak dibawah plat yang paling aktiv didunia.


Kawasan kepulauan Jamaica terletak di bawah sempadan antara plat Caribbean dengan mikroplat Gonave. Mikroplat Gonave merupakan sebuah plat kecil yang mempunyai kepanjangan 1,100 km dan merupakan sebuah plat yang terletak hampir keseluruhan tenggelam dibawah lautan (kerak lautan). Kerak Lautan ini telah ini juga terbentuk selepas berlaku sesar mendatar (strike-slip) disepanjang zon permatang retakan Cayman. Pergerakan ini juga melibatkan plat Carribbean dan plat Amerika Utara. Jamaica dibentuk oleh proses pengangkatan yang berasosiasi dengan proses pergerakan sesar mendatar di zon permatang retakan Cayman ini. Bencana 1692 ini berlaku disebabkan pergerakan sesar mendatar ini.

Hampir 2/3 daripada daripada bandar Port Royal ini tenggelam akibat dilanggar ombak tsunami setinggi 12 m. Selain itu, ombak tsunami telah mengubah kedudukan garis pantai dikawasan Port Royal dan kawasan sekitarnya. Selain tsunami, gempa bumi besar ini juga turut menjana beberapa siri kejadian tanah runtuh, Paling besar, tanah runtuh Judgement Cliff yang telah membunuh 19 orang dan menutup hampir 800 m persegi kawasan.


Hari ini adalah merupakan hari ulangtahun kejadian gempa bumi dan tsunami 1692 Jamaica ini. Kejadian yang sama kemungkinan akan berulang dalam suatu tempoh yang tertentu. Kita, sebagai manusia hanya mampu mengkaji dan dan membuat penaksiran tentang episod-episod gempa bumi akan datang. Namun, segalanya hanya ditentukan oleh Allah, pemilik sekian alam. Apa usaha yang kita boleh buat, iailah mengurangkan kadar kematian akibat bencana geologi ini. 

Rabu, 5 Jun 2013

Menandakan Permulaan Musim Taufan Lembangan Atlantik: Ribut Tropika Andrea Mula Terbentuk di Teluk Mexico

Imej satelit yang dikeluarkan Pusat Taufan Amerika menunjukkan Ribut Tropika Andrea yang telah terbentuk di Teluk Mexico.

Ribut Tropika Andrea dilaporkan telah terbentuk di lembangan Teluk Mexico, lewat hari rabu lalu, menandakan permulaan musim taufan Atlantik 2013.

Ribut berkenaan dikesan berada 300 batu dari kawasan barat daya Tampa , Florida dan bergerak pada 3 mph, berikutan amaran yang dikeluarkan oleh Pusat Taufan Kebangsaan Amerika. Ribut berkenaan boleh mencapai kelajuan sehingga 40 mph.

Ribut taufan Andrea akan memberi kesan kepada kawasan pantai barat Florida, daripada kawasan Boca Grande, ke utara Fort Myers, merentasi Sungai Ochlockonee, seterusnya ke selatan Tallahassee, menurut data yang dikeluarkan Pusat terbabit.


Amaran berjaga-jaga terhadap ribut tropika berkenaan turut dikeluarkan kepada penduduk di kawasan pantai timur Amerika, termasuklah Pantai Flagler, Florida sehingga ke Surf City, North Carolina.

Pusat taufan berkenaan menjangkakan Ribut Tropika Andrea akan sampai ke kawasan daratan pada lewat petang khamis dan bergerak ke arah tenggara Georgia dan kawasan timur Selaran Carolina pada malam khamis dan lewat jumaat.

Dijangkakan, hanya sedikit perubahan kekuatan pada magnitud ribut berkenaan pada 48 jam akan datang.

Sumber: CNN

Jumaat, 24 Mei 2013

Fenomena Supermoon dimalam 15 Rejab 1434 H


Pada tahun 2013, bulan Mei mencatatkan aktiviti bulan penuh kali yang ketiga selepas ekuinok Mac. Di bahagian utara Amerika, ianya lebih dikenali sebagai fasa bulan mengambang 'Flower Moon', 'Rose Moon' atau 'Strawberry Moon'. Bintang yang wujud pada masa berkenaan adalah bintang Antares, bintang paling terang didalam buruj Scorpion. Tambahan pula , fasa bulan berada dalam keadaan lunar perigee sehari lebih awal- titik paling dekat jarak antara bulan dengan bumi untuk bulan mei.

Oleh itu, pada tarikh 24 hingga 25 mei 2013, bulan mengambang yang berlaku di kenali sebagai Supermoon. Dalam kalender Islam, malam 24 Mei 2013 jatuh pada tanggal 15 Rejab 1434 H. Pada malam ini, Bulan pada masa ini akan mengalami sedikit gerhana bulan minor (penumbral lunar eclipse). Dengan kejadian gerhana bulan minor pada magnitud 0.0158, hanya 0.5 arka-minit bagi bahagian selatan bulan memasuki kawasan bayangan penumbral bumi. 

Namun apa yang kebanyakkan daripada dapat lihat pada malam ini? Hanyalah satu pemandangan bulan mengambang yang indah dan mungkin lebih terang sedikit daripada biasa!

Fenomena langit dan bulan ini adalah sangat penting kepada bumi, khususnya dalam sistem pasang-surut air laut, pencuacaan bumi, satelit semulajadi bumi dan pelbagai lagi hubungan lyang berkait rapat dengan bumi. Perkara ini amat menarik untuk kita sama-sama terokai dan jadikan sebagai ilmu tambahan, dalam usaha memulihara alam sekitar dan sistemnya. Fenomena-fenomena yang berlaku juga mempunyai hikmahnya yang tersendiri, dan memberi kita peluang untuk berfikir tentang hikmah disebalik kejadian-kejadian yang berlaku dan betapa besarnya kekuasaan Allah terhadap alam ini. 

Sumber: earthsky.org

Isnin, 20 Mei 2013

Bandar Oklahoma di landa Puting Beliung Alley

Gambar: Ikhsan twitter

Pada lewat petang 20 Mei 2013, satu kejadian puting beliung telah berlaku di Bandar Oklahoma, dan setakat ini telah meragut 91 nyawa. Menurut Pejabat kesihatan bandar Oklahoma, 91 orang disahkan telah terkorban manakala berpuluh yang lain masih hilang dalam kejadian tersebut.

Jumlah kematian yang dicatatkan termasuklah mangsa korban kanak-kanak dari kawasan Sekolah Rendah Menara Plaza (Plaza Towers Elementary School) di kawasan Moore. Puting beliung dilaporkan melanda kawasan Cleveland County, termasuklah kawasan Moore, McClain County, Newcastle dan Oklahoma County.


Gambar: Ikhsan twitter


Tujuh kanak-kanak dari sekolah berkenaan dilaporkan maut setakat ini, dan berpuluh yang lain cedera atau hilang.

Dalam kejadian berkenaan, puting beliung yang dianggarkan berkeluasan 2 batu persegi dan berkelajuan 166 hingga 200 mph, dikategorikan sebagai puting beliung kelas EF-4. Puting beliung berkenaan bergerak kearah Moore, di bahagian selatan bandar metropolitan Oklahoma.


Gambar: CNN


Puting beliung yang melanda bandar Oklahoma ini telah memusnahkan sejumlah bangunan dan kawasan perumahan yang mempunyai penduduknya yang ramai. Sebelum tragedi puting beliung berlaku, Agensi Cuaca Kebangsaan Amerika telah mengeluarkan amaran puting beliung luar biasa untuk kawasan metropolitan Bandar Oklahoma, yang bermaksud kemungkinan berlakunya kerosakan yang teruk boleh berlaku.




Reaksi awal pengguna media sosial twitter terhadap tragedi puting beliung Oklahoma ini, rata-rata melahirkan rasa sedih, terkilan dan memberi kata-kata perangsang kepada mangsa-mangsa tragedi. Beberapa hastag telah digunakan bagi menunjukkan rasa simpati berkenaan, antaranya #PrayForOklahoma, #OklahomaStrong, dan ada juga yang memberi laporan terkini berkenaan misi menyelamat dikawasan kejadian, bantuan kewangan kepada mangsa kejadian dan pergerakan terkini sebarang aktiviti atmosfera yang boleh menjana angin puting beliung.

Sumber: CNN, Twitter.com

Ahad, 19 Mei 2013

Kitar semula peranti anda, jana pendapatan & selamatkan bumi!


Anda pengguna telefon pintar jenama iPhone ? Oh, nanti. Artikel ini bukan hanya ditujukan kepada anda pengguna iPhone sahaja tetapi juga kepada semua pengguna peranti telefon pintar pelbagai jenama, HTC, Nokia, Samsung, ZTE, alcatel, Ninetendo dan pelbagai jenama lagi.

Peranti yang berada ditangan anda sekarang bukanlah hanya sebuah alat elektronik yang anda gunakan dalam kehidupan seharian- ia juga berperanan sebagai sebuah lombong emas, perak, tembaga, platinum... . 




911 Metallurgist, yang berperanan membantu pelombong dan aktivis-aktivis kitar semula bagi mengekstrak logam-logam daripada lombong dan juga pada peranti mudah alih, telah mengkaji kandungan logam-logam berkepentingan didalam iPhone dan peranti jenama lain. Setiap iPhone 5 , mengandungi $1.58 emas, $0.36 perak, $0.05 platinum dan $0.12 tembaga.

Nilai ini kelihatannya agak kecil dan kurang bernilai, namun setiap peranti dianggar mengandungi 6 hingga 300 kali ganda bahan-bahan logam yang bersamaan dengan kandungan logam-logam tersebut didalam bijih. Selain itu, peranti-peranti ini juga mengandungi pelbagai jenis bahan nadir bumi atau REE (Rare Earth Elements) ; Yttrium, Lanthanum, Neodymium, Gadolinium dan Europium dan banyak lagi.





"Pada masa ini, tiada kaedah yang benar-benar mesra alam dalam mengekstrak, mengasingkan dan mengitar semula bahan nadir bumi ini" kata Prof Christian Ekberg, pensyarah Swedish University of Technology. Oleh itu, kurang daripada 1.0% bahan nadir nadir bumi yang terkandung dalam peranti elektronik ini berjaya dikitar semula. 

Masa depan nanti bakal dipenuhi dengan longgokkan telefon pintar yang sudah tidak digunakan lagi. Jadi, longgokan inilah sebenarnya yang mampu menjana pendapatan baharu masyarakat bagi industri logam dan bahan nadir bumi.Pelbagai logam berharga lagi bermutu tinggi boleh dihasilkan melalui lambakan telefon pintar berkenaan. Banyak kajian bertumpu perlu dilakukan keatas sektor industri baharu ini, khususnya dalam  kaedah mesra alam dan selamat bagi mengasingkan bahan nadir bumi dari peranti berkenaan. Kitar semula bahan terbuang perlu menjadi nadi kesedaran rakyat pada masa depan. Penekanan terhadap kesedaran ini dari mula perlu dibuat seawal mungkin bagi membentuk serta melahirkan masyarakat negara maju berpendapatan tinggi , berminda kelas pertama, inovatif dan dalam masa yang sama, sedar tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Sumber: Venturebeat.com

Sabtu, 18 Mei 2013

Bencana Letusan Gunung Berapi St. Helen 18 Mei 1980


Pada 18 Mei 1980, satu kejadian letusan gunung berapi telah berlaku di Gunung St. Helen, menyebabkan berlakunya runtuhan debris gunung berapi di sekitar kawasan sekitar kaki Gunung St. Helen.

Kejadian bermula pada akhir musim sejuk sehingga awal musim luruh tahun 1980, apabila beberapa siri gegaran gempa bumi yang berlaku disekitar kawasan gunung berkenaan. Siri gegaran gempa bumi (paling tinggi dengan magnitud 5+) menjadi petanda awal tentang aktiviti seismik disekitar kawasan gunung berkenaan. Ini juga menandakan magma sudah berada di dalam ruang magma dalam Gunung St. Helen, dan sudah dalam fasa bersedia untuk mengeluarkan magma yang terpendam.




Magma yang terpendam juga menghasilkan bonjol pada sisi utara Gunung St. Helen. Tekanan yang terhasil didalam Gunung St. helen juga telah menyebabkan ais yang melitupi permukaan gunung mencair sedikit demi sedikit serta menghasikan rangkaian air panas yang sedang terwap. Ais yang mencair ini telah menyebabkan struktur tanah diatas gunung tersebut menjadi lemah.

Pada pukul 8.32 pagi, tanpa ada amaran siap siaga, sebuah gempa bumi dengan magnitud 5.1 pada skala richter , dan dengan serta merta, bonjol dibahagian utara gunung dan kawasan puncak gunung mengalami kegagalan struktur lalu menghasilkan satu siri runtuhan serpihan batu-batu gunung yang terbesar dalam sejarah. Seroihan batu-batu gunung berapi yang bewarna gelap berserta campuran air gelegak yang dipanaskan semasa magma mendaki ruang Gunung St. Helen.

Serpihan runtuhan bergerak sejauh 23 km dari kawasan gunung dengan jumlah kuantiti isipadu runtuhan dianggar 2.5 km3 bersamaan dengan saiz 1 juta kolam renang bersaiz olimpik.

Pada hari ini, menandakan ulangtahun ke-33 letusan bencana gunung berapi tersebut. Banyak lagi misteri alam yang masih belum terungkap, banyak lagi pengetahuan tentang bumi dan sistemnya yang perlu diterangkan kepada masyarakat umum khususnya . Bencana seperti ini juga pernah berlaku didalam negara kita suatu masa dahulu, satu masa yang cukup lama dahulu, jutaan tahun lampau. Inilah yang kita perlu ketengahkan kepada masyarakat agar kita tahu asal usul kita, asal usul tempat yang kita duduki dan kesannya pada masa hadapan. Supaya kita belajar dan terus belajar, dan akhirnya kita menghargai apa yang kita ada dan seterusnya berusaha untuk melindunginya demi generasi akan datang.



Sumber : USGS Volcanoes Hazards Programs

Gempa Valdivia, Chile 1960 : Gempa terkuat dalam sejarah


Pada petang ahad 22 Mei 1960, kira-kira pukul 3.11 petang waktu Chile, satu gempa bumi kuat berukuran 9.5 pada skala richter telah menggegarkan kawasan Temuco. Dari segi interpritasi tektonik, Gempa bumi Valdivia ini berlaku apabila terdapat aktiviti pelepasan tenaga mekanikal antara plat Nazca yang telah tersubduksi dibawah plat Amerika Selatan, di sekitar Jurang Peru-Chile.




Kawasan gempa secara relatifnya cetek (33km), oleh itu, ombak tsunami telah terhasil disekitar lautan pasifik. Di sepanjang kawasan pantai Chile, iaitu dari wilayah Lebu ke Puerto Aisen , ombak tsunami mencecah 11.5 m (38 kaki) lalu memusnahkan kawasan Puerto Saavedra secara total. Ombak setinggi 8m (26 kaki) menyebabkan kemusnahan yang teruk di Corral.

Ombak tsunami telah menyebabkan 61 orang maut di Hawaii, dengan ombak setinggi 10.6 m (35 kaki) melanda kepulauan Hawaii. Ombak setinggi 5.5 m (18 kaki) melanda Hounshu, Jepun sehari selepas gempa bumi berlaku. Selain itu, ombak tsunami juga melanda kawasan Kepulauan Filipina, Kepulauan Samoa, Kepulauan Easter hingga ke California.

Gempa kuat ini telah menyebabkan kawasan pantai Chile menaik 1.0 hingga 1.5 m. Dua hari selepas kejadian gempa tersebut, letusan gunung berapi telah berlaku di kawasan Volcan Puyhue, lalu mengeluarkan abu dan habuk volkanik sehingga setinggi 6,000m.



Dianggarkan , 1,655 orang terbunuh dalam kejadian ini, 3,000 orang cedera manakala lebih 2 juta penduduk Chile hilang tempat tinggal. Kerugian dianggarkan sebanyak $550 juta di selatan Chile, ombak Tsunami pula telah menyebabkan 61 orang terkorban, $75 juta kerugian dianggar di kepulauan Hawaii, 138 kematian dan $550 juta kerugian dicatatkan di Jepun, 32 kematian atau mangsa hilang di Filipina dan $500,000 kerugian dicatatkan di kawasan pantai barat Amerika.

Sesungguhnya, sesuatu kejadian bencana itu tidak lain hanya datang dari kekuasaan Allah SWT. Segala kejadian itu juga adalah salah satu misteri alam yang sukar dijangka oleh manusia. Kita, sebagai makhluk Allah, hanya mampu berusaha mengelakkannya dan mengkaji kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Dengan perkembangan teknologi yang kian pesat kini, jumlah kehilangan nyawa dapat kita kurangkan seterusnya kajian-kajain yang terperinci dapat dijalankan supaya kita belajar daripada sejarah yang telah berlaku.

Sumber: USGS Earthquake