Jumaat, 24 Mei 2013

Fenomena Supermoon dimalam 15 Rejab 1434 H


Pada tahun 2013, bulan Mei mencatatkan aktiviti bulan penuh kali yang ketiga selepas ekuinok Mac. Di bahagian utara Amerika, ianya lebih dikenali sebagai fasa bulan mengambang 'Flower Moon', 'Rose Moon' atau 'Strawberry Moon'. Bintang yang wujud pada masa berkenaan adalah bintang Antares, bintang paling terang didalam buruj Scorpion. Tambahan pula , fasa bulan berada dalam keadaan lunar perigee sehari lebih awal- titik paling dekat jarak antara bulan dengan bumi untuk bulan mei.

Oleh itu, pada tarikh 24 hingga 25 mei 2013, bulan mengambang yang berlaku di kenali sebagai Supermoon. Dalam kalender Islam, malam 24 Mei 2013 jatuh pada tanggal 15 Rejab 1434 H. Pada malam ini, Bulan pada masa ini akan mengalami sedikit gerhana bulan minor (penumbral lunar eclipse). Dengan kejadian gerhana bulan minor pada magnitud 0.0158, hanya 0.5 arka-minit bagi bahagian selatan bulan memasuki kawasan bayangan penumbral bumi. 

Namun apa yang kebanyakkan daripada dapat lihat pada malam ini? Hanyalah satu pemandangan bulan mengambang yang indah dan mungkin lebih terang sedikit daripada biasa!

Fenomena langit dan bulan ini adalah sangat penting kepada bumi, khususnya dalam sistem pasang-surut air laut, pencuacaan bumi, satelit semulajadi bumi dan pelbagai lagi hubungan lyang berkait rapat dengan bumi. Perkara ini amat menarik untuk kita sama-sama terokai dan jadikan sebagai ilmu tambahan, dalam usaha memulihara alam sekitar dan sistemnya. Fenomena-fenomena yang berlaku juga mempunyai hikmahnya yang tersendiri, dan memberi kita peluang untuk berfikir tentang hikmah disebalik kejadian-kejadian yang berlaku dan betapa besarnya kekuasaan Allah terhadap alam ini. 

Sumber: earthsky.org

Isnin, 20 Mei 2013

Bandar Oklahoma di landa Puting Beliung Alley

Gambar: Ikhsan twitter

Pada lewat petang 20 Mei 2013, satu kejadian puting beliung telah berlaku di Bandar Oklahoma, dan setakat ini telah meragut 91 nyawa. Menurut Pejabat kesihatan bandar Oklahoma, 91 orang disahkan telah terkorban manakala berpuluh yang lain masih hilang dalam kejadian tersebut.

Jumlah kematian yang dicatatkan termasuklah mangsa korban kanak-kanak dari kawasan Sekolah Rendah Menara Plaza (Plaza Towers Elementary School) di kawasan Moore. Puting beliung dilaporkan melanda kawasan Cleveland County, termasuklah kawasan Moore, McClain County, Newcastle dan Oklahoma County.


Gambar: Ikhsan twitter


Tujuh kanak-kanak dari sekolah berkenaan dilaporkan maut setakat ini, dan berpuluh yang lain cedera atau hilang.

Dalam kejadian berkenaan, puting beliung yang dianggarkan berkeluasan 2 batu persegi dan berkelajuan 166 hingga 200 mph, dikategorikan sebagai puting beliung kelas EF-4. Puting beliung berkenaan bergerak kearah Moore, di bahagian selatan bandar metropolitan Oklahoma.


Gambar: CNN


Puting beliung yang melanda bandar Oklahoma ini telah memusnahkan sejumlah bangunan dan kawasan perumahan yang mempunyai penduduknya yang ramai. Sebelum tragedi puting beliung berlaku, Agensi Cuaca Kebangsaan Amerika telah mengeluarkan amaran puting beliung luar biasa untuk kawasan metropolitan Bandar Oklahoma, yang bermaksud kemungkinan berlakunya kerosakan yang teruk boleh berlaku.




Reaksi awal pengguna media sosial twitter terhadap tragedi puting beliung Oklahoma ini, rata-rata melahirkan rasa sedih, terkilan dan memberi kata-kata perangsang kepada mangsa-mangsa tragedi. Beberapa hastag telah digunakan bagi menunjukkan rasa simpati berkenaan, antaranya #PrayForOklahoma, #OklahomaStrong, dan ada juga yang memberi laporan terkini berkenaan misi menyelamat dikawasan kejadian, bantuan kewangan kepada mangsa kejadian dan pergerakan terkini sebarang aktiviti atmosfera yang boleh menjana angin puting beliung.

Sumber: CNN, Twitter.com

Ahad, 19 Mei 2013

Kitar semula peranti anda, jana pendapatan & selamatkan bumi!


Anda pengguna telefon pintar jenama iPhone ? Oh, nanti. Artikel ini bukan hanya ditujukan kepada anda pengguna iPhone sahaja tetapi juga kepada semua pengguna peranti telefon pintar pelbagai jenama, HTC, Nokia, Samsung, ZTE, alcatel, Ninetendo dan pelbagai jenama lagi.

Peranti yang berada ditangan anda sekarang bukanlah hanya sebuah alat elektronik yang anda gunakan dalam kehidupan seharian- ia juga berperanan sebagai sebuah lombong emas, perak, tembaga, platinum... . 




911 Metallurgist, yang berperanan membantu pelombong dan aktivis-aktivis kitar semula bagi mengekstrak logam-logam daripada lombong dan juga pada peranti mudah alih, telah mengkaji kandungan logam-logam berkepentingan didalam iPhone dan peranti jenama lain. Setiap iPhone 5 , mengandungi $1.58 emas, $0.36 perak, $0.05 platinum dan $0.12 tembaga.

Nilai ini kelihatannya agak kecil dan kurang bernilai, namun setiap peranti dianggar mengandungi 6 hingga 300 kali ganda bahan-bahan logam yang bersamaan dengan kandungan logam-logam tersebut didalam bijih. Selain itu, peranti-peranti ini juga mengandungi pelbagai jenis bahan nadir bumi atau REE (Rare Earth Elements) ; Yttrium, Lanthanum, Neodymium, Gadolinium dan Europium dan banyak lagi.





"Pada masa ini, tiada kaedah yang benar-benar mesra alam dalam mengekstrak, mengasingkan dan mengitar semula bahan nadir bumi ini" kata Prof Christian Ekberg, pensyarah Swedish University of Technology. Oleh itu, kurang daripada 1.0% bahan nadir nadir bumi yang terkandung dalam peranti elektronik ini berjaya dikitar semula. 

Masa depan nanti bakal dipenuhi dengan longgokkan telefon pintar yang sudah tidak digunakan lagi. Jadi, longgokan inilah sebenarnya yang mampu menjana pendapatan baharu masyarakat bagi industri logam dan bahan nadir bumi.Pelbagai logam berharga lagi bermutu tinggi boleh dihasilkan melalui lambakan telefon pintar berkenaan. Banyak kajian bertumpu perlu dilakukan keatas sektor industri baharu ini, khususnya dalam  kaedah mesra alam dan selamat bagi mengasingkan bahan nadir bumi dari peranti berkenaan. Kitar semula bahan terbuang perlu menjadi nadi kesedaran rakyat pada masa depan. Penekanan terhadap kesedaran ini dari mula perlu dibuat seawal mungkin bagi membentuk serta melahirkan masyarakat negara maju berpendapatan tinggi , berminda kelas pertama, inovatif dan dalam masa yang sama, sedar tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Sumber: Venturebeat.com

Sabtu, 18 Mei 2013

Bencana Letusan Gunung Berapi St. Helen 18 Mei 1980


Pada 18 Mei 1980, satu kejadian letusan gunung berapi telah berlaku di Gunung St. Helen, menyebabkan berlakunya runtuhan debris gunung berapi di sekitar kawasan sekitar kaki Gunung St. Helen.

Kejadian bermula pada akhir musim sejuk sehingga awal musim luruh tahun 1980, apabila beberapa siri gegaran gempa bumi yang berlaku disekitar kawasan gunung berkenaan. Siri gegaran gempa bumi (paling tinggi dengan magnitud 5+) menjadi petanda awal tentang aktiviti seismik disekitar kawasan gunung berkenaan. Ini juga menandakan magma sudah berada di dalam ruang magma dalam Gunung St. Helen, dan sudah dalam fasa bersedia untuk mengeluarkan magma yang terpendam.




Magma yang terpendam juga menghasilkan bonjol pada sisi utara Gunung St. Helen. Tekanan yang terhasil didalam Gunung St. helen juga telah menyebabkan ais yang melitupi permukaan gunung mencair sedikit demi sedikit serta menghasikan rangkaian air panas yang sedang terwap. Ais yang mencair ini telah menyebabkan struktur tanah diatas gunung tersebut menjadi lemah.

Pada pukul 8.32 pagi, tanpa ada amaran siap siaga, sebuah gempa bumi dengan magnitud 5.1 pada skala richter , dan dengan serta merta, bonjol dibahagian utara gunung dan kawasan puncak gunung mengalami kegagalan struktur lalu menghasilkan satu siri runtuhan serpihan batu-batu gunung yang terbesar dalam sejarah. Seroihan batu-batu gunung berapi yang bewarna gelap berserta campuran air gelegak yang dipanaskan semasa magma mendaki ruang Gunung St. Helen.

Serpihan runtuhan bergerak sejauh 23 km dari kawasan gunung dengan jumlah kuantiti isipadu runtuhan dianggar 2.5 km3 bersamaan dengan saiz 1 juta kolam renang bersaiz olimpik.

Pada hari ini, menandakan ulangtahun ke-33 letusan bencana gunung berapi tersebut. Banyak lagi misteri alam yang masih belum terungkap, banyak lagi pengetahuan tentang bumi dan sistemnya yang perlu diterangkan kepada masyarakat umum khususnya . Bencana seperti ini juga pernah berlaku didalam negara kita suatu masa dahulu, satu masa yang cukup lama dahulu, jutaan tahun lampau. Inilah yang kita perlu ketengahkan kepada masyarakat agar kita tahu asal usul kita, asal usul tempat yang kita duduki dan kesannya pada masa hadapan. Supaya kita belajar dan terus belajar, dan akhirnya kita menghargai apa yang kita ada dan seterusnya berusaha untuk melindunginya demi generasi akan datang.



Sumber : USGS Volcanoes Hazards Programs

Gempa Valdivia, Chile 1960 : Gempa terkuat dalam sejarah


Pada petang ahad 22 Mei 1960, kira-kira pukul 3.11 petang waktu Chile, satu gempa bumi kuat berukuran 9.5 pada skala richter telah menggegarkan kawasan Temuco. Dari segi interpritasi tektonik, Gempa bumi Valdivia ini berlaku apabila terdapat aktiviti pelepasan tenaga mekanikal antara plat Nazca yang telah tersubduksi dibawah plat Amerika Selatan, di sekitar Jurang Peru-Chile.




Kawasan gempa secara relatifnya cetek (33km), oleh itu, ombak tsunami telah terhasil disekitar lautan pasifik. Di sepanjang kawasan pantai Chile, iaitu dari wilayah Lebu ke Puerto Aisen , ombak tsunami mencecah 11.5 m (38 kaki) lalu memusnahkan kawasan Puerto Saavedra secara total. Ombak setinggi 8m (26 kaki) menyebabkan kemusnahan yang teruk di Corral.

Ombak tsunami telah menyebabkan 61 orang maut di Hawaii, dengan ombak setinggi 10.6 m (35 kaki) melanda kepulauan Hawaii. Ombak setinggi 5.5 m (18 kaki) melanda Hounshu, Jepun sehari selepas gempa bumi berlaku. Selain itu, ombak tsunami juga melanda kawasan Kepulauan Filipina, Kepulauan Samoa, Kepulauan Easter hingga ke California.

Gempa kuat ini telah menyebabkan kawasan pantai Chile menaik 1.0 hingga 1.5 m. Dua hari selepas kejadian gempa tersebut, letusan gunung berapi telah berlaku di kawasan Volcan Puyhue, lalu mengeluarkan abu dan habuk volkanik sehingga setinggi 6,000m.



Dianggarkan , 1,655 orang terbunuh dalam kejadian ini, 3,000 orang cedera manakala lebih 2 juta penduduk Chile hilang tempat tinggal. Kerugian dianggarkan sebanyak $550 juta di selatan Chile, ombak Tsunami pula telah menyebabkan 61 orang terkorban, $75 juta kerugian dianggar di kepulauan Hawaii, 138 kematian dan $550 juta kerugian dicatatkan di Jepun, 32 kematian atau mangsa hilang di Filipina dan $500,000 kerugian dicatatkan di kawasan pantai barat Amerika.

Sesungguhnya, sesuatu kejadian bencana itu tidak lain hanya datang dari kekuasaan Allah SWT. Segala kejadian itu juga adalah salah satu misteri alam yang sukar dijangka oleh manusia. Kita, sebagai makhluk Allah, hanya mampu berusaha mengelakkannya dan mengkaji kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Dengan perkembangan teknologi yang kian pesat kini, jumlah kehilangan nyawa dapat kita kurangkan seterusnya kajian-kajain yang terperinci dapat dijalankan supaya kita belajar daripada sejarah yang telah berlaku.

Sumber: USGS Earthquake

Jumaat, 17 Mei 2013

Zaman Jura


Zaman Jura atau lebih dikenali sebagai Jurassic merupakan satu zaman dalam jangka masa geologi yang bermula dari 201 juta tahun sehingga 145 juta tahun. Ianya bermula selepas zaman Trias dan sebelum permulaan zaman Kapur (Cretaceous).

Zaman Jura juga dikenali sebagai zaman reptilia. 

Pada zaman ini, superbenua Pangaea mula berpecah kepada dua bahagian, benua Laurasia bergerak ke arah utara manakala benua Gondwana bergerak ke arah selatan. Impaknya, arus lautan dapat bergerak arah antara dua benua berkenaan, seterusnya merubah iklim kawasan daratan berkenaan yang sebelum ini panas dan kering menjadi lebih lembap akibat bawaan angin bayu lautan.




Di kawasan daratan pula, tumbuhan Trias (Triassic fauna) mula mengambil tempat dikebanyakkan kawasan yang sebelum ini merupakan kawasan gurun yang kering dan panas. Dinosauromorph dan crocodilomorph archosaurs mendominasi kawasan daratan dan menjadi pemangsa dominan pada masa berkenaan.

Zaman Jura memperlihatkan evolusi yang cukup penting apabila spesies burung dan cicak pertama muncul, manakala kawasan lautan dikuasai oleh hidupan reptilia marin seperti ichtyosaurs dan plesiosaurs.


Rujukan:  Condie, K.C. 2005. Earth as an Evoving planetary system. New York: Elsevier & Academic Press

Ribut Siklon Mahasen landa Bagladesh

Imej satelit radar yang diambil oleh Jabatan Pentadbiran Laut dan Satelit  Kebangsaan Amerika (NOAA) 
Imej yang dikeluarkan dalam laman facebook rasmi NOAA pada 16 Mei lalu menunjukkan kilat sambar menyambar diikuti kejadian gelombang graviti lautan yang menandakan permulaan kepada Siklon Tropika Mahasen.

Siklon Tropika Mahasen yang terbentuk di tengah lautan Hindi bergerak ke arah Bangladesh dan mendarat lalu melanda kawasan Patuakhali di Bangladesh, pada khamis lalu. Angin Siklon Mahasen yang melanda ini membawa sekali hujan lebat dan angin kencang. Setakat 17 Mei 2013, 6 orang dilaporkan terkorban manakala beratus yang lain hilang tempat tinggal (AP).

Gambar menarik ini diambil oleh satelit Suomi NPP semasa angin siklon sedang bergerak ke kawasan pantai timur India. 

Sumber: NOAA Satellite and Information Service facebook page.


Khamis, 16 Mei 2013

Zaman Trias


Zaman Trias atau dikenali sebagai sebagai Triassic merupakan salah satu jangka masa geologi yang bermula seawal 250 sehingga 200 Ma.

Zaman ini merupakan jangka masa pertama yang berlaku didalam era Mesozoik, dan berlaku diantara zaman Perm dan zaman Jura. Zaman Trias (205-250 Juta Tahun) lalu termasuk didalam era Mesozoik atau dikenali sebagai Zaman Reptilia. Pada masa Trias, Asia Tenggara, China Selatan, Tibet, Iran, Afghanistan dan Turki bergerak ke Gondwana iaitu ke arah utara. Dan pada akhir Trias, Malaya berlanggar dengan Indochina, China Selatan dengan China Utara, dan orogeni  Tsingling dan Pamir dengan Kazakhstan membentuk pergunungan Tien Shan.

Pada Trias Tengah, Sonomia berlanggar dengan Nevada barat dan California utara membentuk Orogeni Sonoma. Pada Akhir Trias, Stikinia berlanggar dengan bahagian barat Amerika Utara. Pada masa Trias juga, terdapat lapisan merah yang ditemui secara meluas.

Zaman ini boleh ditafsirkan sebagai satu zaman kebangkitan hidupan selepas episod kepupusan massa Perm-Trias. Proses kebangkitan hidupan ini mengambil masa sehingga ke pertengahan zaman Perm dimana hidupan biodiversiti khususnya yang terkesan daripada kepupusan berkembang sedikit demi sedikit.



Pada zaman ini, Therapsids dan archosaurs merupakan hidupan yang mendominasi kawasan daratan ketika itu. Therapsid merupakan moyang kepada hidupan mamalia pada masa kini, antara pemangsa terawal sebelum berevolusi menjadi pemangsa ganas pada zaman Jura, iaitu dinasour. Archosaurs pula ialah sejenis haiwan yang terbang dan mempunyai sayap, bersaiz lebih besar sedikit daripada burung dan makhluk terbang yang ada pada masa kini. Archosaurs pula dikaitkan dengan moyang kepada haiwan yang mempunyai kepak dan sayap pada masa kini sebelum ianya berevolusi kepada saiz yang lebih kecil.

Dari segi paleogeografi pula, pada masa Trias, sebuah superbenua telah terbentuk dan dinamakan 'Pangea'. Pangea merupakan gabungan beberapa benua , antaranya ialah benua Eurasia, benua Amerika Utara, benua Afrika, benua Amerika Selatan, benua India, benua Antartika dan benua Australia. Percantuman superbenua yang membentuk sebuah lautan yang terbentang luas yang diberi nama lautan Panthalassa.

    
Rujukan:  Condie, K.C. 2005. Earth as an Evoving planetary system. New York: Elsevier & Academic Press