Khamis, 18 Ogos 2011

Bukit Keluang : Pengalaman Mendebarkan

   Selepas berjaya mengharungi cabaran di Kuala Krai melalui segmen igneus, maka,pada tanggal 8 Mei 2011, kami semua dengan menaiki 2 bas UKM bertolak dari Pekan Kuala Krai, Kelantan ke Besut Terengganu bagi menempuhi satu lagi segmen batuan yang tidak kurang pentingnya, batuan Sedimen.


   Secara Geografi, Bukit Keluang terletak di salah satu daerah di bahagian hulu Terengganu, dimana terdapatnya 3 buah bukit yang hampir selari, namun dipisahkan oleh lembah-lembah yang telah terisi sediemn pasir pantai. Bukit –bukit yang ada iaitu Bukit Keluang di bahagian paling ke utara, Bukit Bubus dan Bukit Dendong iaitu bukit paling ke selatan.


   Setelah sampai di tapak perkhemahan, iaitu berhampiran dengan pantai, menghadap sebuah pulau yang sangat jelas kelihatan dari tepi pantai. Aktiviti hari pertama diisi dengan memasang serta mengemas tapak perkhemahan bagi memastikan khemah selamat, selesa dan kuat.Khemah untuk aktiviti pelajar, khemah memasak dan khemah dapur juga turut didirikan. Khemah-khemah ini semua dibawakan khas dari Bangi, dan kebanyakannya milik Geologi UKM sendiri.


   Malam pertama kerjalapangan teknik pemetaan di Bukit Keluang pada tahun ini di warnai dengan keadaan cuaca yang tidak memihak kepada kami. Langit yang pada awalnya mendung-mendung biasa pada waktu senja menjadi ganas menjelang tengah malam. Mujurlah angin yang datang adalah dari kawasan darat menghala ke laut. Jika angin yang tiba datang dari laut ke darat, agaknya lebih teruk juga keadaan kami. Peristiwa berlaku betul-betul selepas taklimat penuh namun ringkas yang diberikan Dr. Kamal Roslan, selaku ketua dalam kerjalapangan segmen sedimen.


   Hari pertama, yang mana pelajar masih tidak lagi dipecahkan kerana hari ini merupakan pengenalan batuan yang wujud di lokaliti kepada semua pelajar. Kawasan yang menjadi pilihannya ialah kawasan Bukit Bubus Selatan. Disini, cara-cara mendapatkan jujukan sedimen yang sempurna ditunjukkan, selain menyegarkan kembali ingatan mengenai cara-cara mengukur jurus-kemiringan,ketebalan serta hasil cerapan batuan secara menyeluruh dan tepat.


   Panas dan memenatkan. Dengan keadaan pasir pantai yang membantu proses pengaliran haba yang datang daripada matahari menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk duduk berehat sebentar menjelang pukul 11 pagi. Namun, ada juga yang tetap bertahan dan tabah menghadapi segala ujian serta redha dengan kepanasan luar biasa ini, kerana merasakan sudah tidak ada lagi perkara yang menakutkan selain wajah yang gelap.


   Selesai mencerap di sekitar Bukit Bubus Selatan, kami dibawa pula ke kawasan lapang sasar bagi melihat pula singkapan pada lokaliti yang sama. Panas Terik tidak menghalang beberapa pelajar daripada melukis serta melakar apa-apa yang patut, untuk dibuat bekalan dikhemah nanti.Selesai mencerap, lebih kurang pukul 2.30 petang, pelajar akan kembali ke khemah masing-masing dan aktiviti bebas sehingga ke waktu malam. Oh...Inahnya.... Pada waktu malamnya, bermulalah sesi perbincangan mengenai lokaliti yang telah dilawati, dan rata-rata membuat log masing-masing dengan keadaan yang tenang mengikut kumpulan masing-masing. Begitulah aktiviti sepanjang berkerjalapangan di Bukit Keluang ini.


   Penulis berada dalam kumpulan A, yang mana, pada hari kedua, kami di kumpulan A akan membina log disekitar sepanjang kawasan Bukit Keluang, bukit paling utara antar 3 bukit yang ada. Cuaca pada hari ini lebih memihak kepada kami, namun, pada hari ketiga, iaitu di lokaliti Bukit Bubus Utara, cuaca sangat tidak mengizinkan, Panas terik. Cuaca Kembali memihak kepada kami pada hari terakhir dilapangan iaitu bukit paling ke selatan, Bukit Dendong.


   Secara umumnya, Bukit Keluang merupakan jujukan paling tua, dan jujukan ini memuda ke selatan. Berdasarkan bukti-bukti yang ada, iaitu jenis batuan, keadaannya, kehadiran fosil, struktur tektonik dan pelbagai lagi aspek yang dikaji, mencadangkan batuan adalah endapan daratan, berusia Jura-kapur, dan berkemungkinan merupakan kipas alluvium. Oleh itu, batuan ini boleh dikategorikan sebagai endapan daratan tertua di semenanjung Malaysia.


   Disini, Lokaliti yang paling menakjubkan yang pernah kami lihat adalah di lokaliti Bukit Dendong.Dengan kawasan yang tidak tercemar, ditambah panorama yang indah, membuatkan kami terpegun seketika menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi ini. Disini juga, kami diuar-uarkan untuk mandi seketika menikmati air laut yang bersih dan kurang tercemar berbanding tempat-tempat lain. Tidak dapat dibayangkan perasaan teruja itu. Kawasan ini juga difahamkan merupakan salah satu lokasi penggambaran filem terkenal ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ terbitan KRU itu.


  Setelah selesai segalanya, pada petang hari sabtu, 14 Mei 2011, kami akhirnya berkemas dan bersiap untuk pulang ke Kota bangi bagi menyiapkan segalan laporan untuk dihantar secepat yang mungkin. Ada masa, kami akan bertemu lagi dengan kerjalapangan dilain waktu dan lain tempat, Insyallah.