Selasa, 7 Jun 2011

Kuala Krai : Suatu Pengembaraan


   Perjalanan ke Kuala Krai bermula pada 30 April 2011, bagi pelajar-pelajar tahun 2 sesi 2010/2011 program Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perjalanan mengambil masa selama 9 jam lebih iaitu bertolak dari Dewan Anuar Mahmud (DAM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) lebih kurang pukul 9.30 malam. Perjalanan akhirnya sampai di pekan Kuala Krai kira-kira pukul 6.15 pagi , dimana perjalanan berhenti beberapa kali, dan apabila sampai, rombongan 3 buah bas berhenti rehat untuk solat di sekitar pekan Kuala Krai.


   Berlainan daripada batch yang lepas-lepas, batch ini agak kurang bernasib baik, apabila kesemua pelajarnya menetap di sebuah hostel ‘Damar Inn’ dan tiada lagi aktiviti berkhemah seperti yang berlaku pada tahun-tahun yang lepas. Namun, aktiviti ini dijangka akan disambung semula pada batch yang akan datang. Insyallah. Sesampai sahaja di hostel, hanya aktiviti memasang khemah yang rancak dan diutamakan dahulu selain ke pekan Kuala Krai bagi membeli segala peralatan/kelengkapan yang penting berikutan ‘check inn’ hostel hanya boleh dibuat menjelang tengah hari.


   Pada kerjalapangan ini, pelajar yang kesemuanya berjumlah hampir 74 orang dan dibantu oleh seramai 4 orang pembantu makmal dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu, kumpulan A dan kumpulan B. Salah satu kumpulan akan bergerak dibawah profesor yang akan mengendalikan segmen batuan igneus manakala satu kumpulan lagi akan bergerak ke segmen batuan metamorf. Proses pembahagian ini berjalan pada malam pertama dimana pelajar dibahagikan secara rawak mengikut senarai nama yang disediakan.


   Bagi segmen batuan igneus, pelajar akan menjelajah ke kawasan-kawasan antaranya berdekatan dengan Damar Inn (berhadapan), Kawasan Manek Urai, Lata Rek, Sungai Pas, kebun getah di sekitar Kuala Krai dan Lata Berangin. Bagi segmen batuan metamorf pula, antara kawasan yang dijelajahi termasuklah di sepanjang Jalan Sungai Sam-Dabong, sepanjang Sungai Galas dan sepanjang Sungai Mei.Perjalanan yang penuh dengan penceritaan yang tersendiri ini bakal memberi satu pengalaman yang berguna kepada para pelajar, bukan sahaja mengenai sejarah geologi kawasan ini, malah dari segi bahasa, pertuturan, bagaimana mahu berkomunikasi dan paling penting, cara penghormatan kita kepada golongan yang lebih berusia daripada kita.


   Bercerita lanjut mengenai segmen igneus, para pelajar akan mencerap, menganalisis, mengambil bacaan bagi kesemua data-data tektonik yang wujud pada singkapan yang ditemui. Tidak dilupakan, proses melukis singkapan selain mengambil sampel tangan bagi dibuat kajian petrografi bagi menetukan nama jenis batuan tersebut secara makmal. Pada akhirnya, kita akan dapat mentafsirkan apa proses-proses yang berlaku di sesebuah singkapan pada laporan akhir nanti. Pada laporan akhir segmen igneus nanti, segala maklumat dan data akan dianalisis secara terperinci dan disokong oleh bukti-bukti lapangan serta jenis-jenis mineral yang wujud, setelah sampel tangan dianalisis menggunakan kaedah petrologi.

   Bagi lokaliti Lata Berangin, pelajar diminta untuk membina satu peta geologi lengkap dimana sempadan-sempadan batuan akan ditentukan pada akhir pemetaan ini. Objektif utama membina peta geologi ini adalah kerana memberi latihan secara lapangan kepada pelajar bagaimana membina sebuah peta bagi singkapan batuan igneus, menetukan sempadan bagi jenis batuan yang berbeza, menentukan tua-muda singkapan, menyediakan satu keratan rentas, mewarnakannya, serta membuat satu tafsiran berhubung aktiviti-aktiviti yang berlaku semasa proses pembentukan batuan ini.  


   Kehadiran batuan igneus jenis volkanik disini menjadi petunjuk bahawa terdapatnya satu aktiviti volkano yang berlaku pada masa tertentu sehingga membentuk beberapa jenis batuan metamorf yang mempunyai beberapa jenis. Batuan igneus volkanik ini ditandai dengan kehadiran beberapa jenis batuan tersebut di sekitar Kuala Krai ini. Antaranya terdapat beberapa jenis batu pasir bertuff di sekitar Jalan Sungai Sam-Dabong, riolit/andesit yang mana jenis batuan yang mempunyai matrik dan fenokris berbutiran halus. Batuan igenus berbutiran halus mencirikan batuan tersebut biasanya berasal mula dari kawasan volkanik. Batuan kebiasaan dijumpai berwarna kelabu cerah hingga gelap.


   Bagi segmen batuan metamorf, ada beberapa fasa/gred batuan yang boleh dicirikan dengan beberapa jenis asal mula. Bagi sepanjang jalan Sungai Sam-Dabong, terdapatnya aktiviti volkano dan selepas itu batuan mencirikan metamorf sentuh, apabila batuan filit dan sabak banyak dijumpai di sekitar kawasan ini. Batuan sabak merupakan batuan metamorf bergred sederhana manakala batuan filit adalah batuan metamorf bergred rendah. Bagi kawasan Sungai Galas dan Sungai Mei, batuan metamorf mencirikan batuan metamorf rantau.


   Bagi kedua-dua lokaliti ini, Zon tertinggi yang berjaya dicerap ialah Zon Metamorf Garnet, dimana batuan jenis Syis Kuarza-Mika dan Syis Mika paling banyak ditemui. Zon-zon isograd (sempadan) bagi setiap gred berjaya di tentukan iaitu Zon Isograd Mika, Zon Isograd Biotit, dan Zon Isograd Garnet. Bagi kaedah di Jalan Sungai Sam-Dabong, kaedahnya adalah kaedah rintisan menggunakan bas, manakala bagi lokaliti Sungai Galas, kaedah yang terbabit adalah melalui menelusuri sungai menggunakan bot dan bagi kaedah di Sungai Mei, kaedah yang digunakan adalah meranduk sungai atau berjalan ditengah sungai. Ini merupakan salah satu cara bagaimana mahu memetakan singkapan batuan metamorf dilapangan.

lagi gambar...

   Sungai Galas


Sungai Mei


Lata Berangin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan