Ahad, 24 November 2013

Letusan Gunung Berapi Sinabung 2013

Gunung Sinabung sedang mengeluarkan debu halus- @euronews

Sebuah gunung berapi iaitu Gunung Sinabung yang terletak di bahagian barat Indonesia telah meletus 8 kali hanya dalam beberapa jam sahaja, The Telegraph melaporkan hari ini. Letusan tersebut telah menyebabkan berlakunya hujan debu-debu gunung berapi selain memaksa ribuan penduduk sekitar kaki gunung Sinabung keluar dari kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan The Jakarta Post, debu-debu letusan gunung Sinabung telah merebak ke kawasan Medan, di utara Indonesia, sehingga memaksa operasi penerbangan di Kuala Namu International Airport di Deli tergendala seketika. Debudebu gunung berapi yang terampai di udara boleh mendatangkan risiko kepada sektor penerbangan kerana debu-debu berkenaan terbina daripada partikel-partikel halus yang tajam dan berasid yang boleh merosakkan enjin kapal terbang.

Untuk info, Gunung Sinabung telah mula meletus pada september lalu, namun aktiviti volkanik dan seismik semakin tinggi pada lewat sabtu dan awal ahad, dimana gunung berkenaan mengeluarkan debu-debu halus yang tajam serta serpihan batuan volkanik sejauh 5 batu ke udara.

Sebahagian penduduk meninggalkan kediaman masing-masing selepas terdengar bunyi letusan yang kuat yang kedengaran dari Gunung Sinabung tersebut. Bunyi seperti guruh beserta gegaran akibat pengeluaran bahan volkanik dari gunung berapi tersebut. Agensi Volkanologi telah mengeluarkan amaran tahap tertingg iaitu tahap 4 , yang bermaksud letusan yang kuat dan pada skala bencana.

Gunung Sinabung merupakan gunung berapi jenis stratovolcano, wujud sejak zaman Pleistosen dan terletak pada jujukan Rantai Api Pasifik (Pacific Ring of Fire). Gunung ini pertama kali meletus pada september 2010. Jujukan Rantai Api Pasifik cukup terkenal didunia sebagai satu garisan disepanjang kawasan Asia Pasifik sehingga ke lembangan lautan pasifik yang mempunyai aktiviti seismik & gunung berapi yang aktif.

Sumber: The Telegraph, The Jakarta Post

Sabtu, 23 November 2013

Cuaca Ekstrem 2013

Pada 14 November lalu, Agency France- Presse (AFP) mengeluarkan satu gambar rajah mengenai peristiwa-peristiwa berkenaan pencuacaan yang berlaku sepanjang tahun 2013 sehingga 8 November lalu. Peristiwa-peristiwa tersebut termasuklah peristiwa kemarau besar, taufan & puting beliung, cuaca panas lampau serta banjir besar.


Menurut saintis, tahun 2013 merupakan tahun ke-7 terpanas yang pernah dicatatkan saintis semenjak penciptaan termometer. Purata suhu bumi pada tahun 2013 dicatatkan pada 14.47 darjah celsius. Suhu panas lampau juga berlaku merentas hampir di setiap benua bermula di benua Australia iaitu di Sydney pada 8 Januari 2013 iaitu musim panas negara itu yang mencatatkan 45.8 darjah celcius. Ini diikuti di kawasan Vioolsdrif , Afrika Selatan yang mencatatkan 47.3 darjah celcius pada 4 Mac 2013.

Pada 8 Ogos 2013, benua eropah tidak terkecuali apabila Austria mencatatkan bacaan suhu 40.5 darjah celsius manakala benua Asia iaitu negara China mencatatkan bacaan suhu sebanyak 40.0 darjah celcius sepanjang bulan Julai hingga Ogos manakala Jepun di wilayah Shimanto mencatatkan rekod bacaan 41.0 darjah celcius pada 12 Ogos 2013 lalu. 

Bagi segmen kemarau teruk pula, benua Amerika Selatan adalah yang paling teruk terkena tempiasnya apabila negara Mexico & Brazil masing-masing mencatatkan kemarau paling teruk dalam sejarah selain New Zealand yang mencatatkan rekod kemarau terburuk sepanjang 10 tahun lepas. Kebanyakkan negara di benua Amerika Selatan terletak dibawah garisan Khatulistiwa selain mempunyai jumlah keluasan hutan hujan yang tinggi selain hutan hujan Borneo.

Episod banjir besar juga tidak terkecuali. Banjir besar berlaku di Argentina (2 April), Eropah- Sungai Danube & Elbe (Mei-Jun) & Nepal (Jun).

Bagi segmen taufan dan puting beliung pula, Amerika Syarikat mencatatkan 2 episod puting beliung maut iaitu puting beliung Moore & El Reno. Di Mexico, dua episod taufan dalam satu-satu masa berlaku pada 15 September manakala di Britain, ribut 'Christian' yang berlaku pada 28 Oktober 2013 adalah yang paling kuat pernah melanda negara itu sejak tahun 2002 lagi. Di Perancis, puting beliung kategori EF-3 telah melanda pada 19 Jun 2013, paling teruk sejak tahun 2008.

Di India, Taufan Phailin yang terbentuk di lautan Hindi membadai negara itu pada 11 Oktober 2013, adalah taufan yang paling kuat melanda sejak tahun 1999. Di Filipina pula, dua taufan yang melanda negara itu telah menyebabkan bahagian tengah Filipina lumpuh teruk. Taufan pertama yang melanda adalah Taufan Usagi pada 21 September 2013 diikuti Taufan Haiyan @ Yolanda yang berlaku pada 8 November 2013. Haiyan telah menyebabkan kawasan kepulauan Samar, Tacloban dan Leyte lumpuh teruk serta menyebabkan ribuan mangsa terkorban.

Dalam pada masa yang sama, saintis menjangkakan, 'sikap' dan 'kelakuan' taufan, puting beliung serta ribut akan menjadi lebih 'liar' dan ganas pada masa depan akibat perubahan cuaca yang tidak terkawal ini.

Sumber: AFP

Selasa, 19 November 2013

Taufan Super Haiyan 2013

Taufan Super Haiyan atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Yolanda merupakan Taufan yang paling kuat dalam tahun 2013 yang dicatatkan setakat ini. Taufan Haiyan merupakan taufan ke-13 mengikut sistem penamaan musim taufan di lembangan Pasifik bagi tahun 2013.


Taufan Super Haiyan: pemandangan daripada stesen ISS -Sumber twitter NOAA
 
 
Haiyan terbentuk daripada kawasan yang mempunyai tekanan rendah beberapa ratus kilometer dari kawasan Mikronesia pada 2 November 2013 dan bergerak tenggara. Pertembungan antara udara bertekanan rendah (bersuhu rendah) dengan udara bertekanan tinggi (suhu tinggi) telah menyebabkan ketakstabilan pada atmosfera lalu menbentuk ribut.  Semasa bergerak , Haiyan memperkuatkan kelajuan dan bertukar kepada ribut tropika sehari kemudian. Pada 5 November 2013, Pusat Amaran Taufan (JTWC) memberi amaran tentang system taufan Haiyan berada pada kategori 5 iaitu paling tinggi dalam skala angin dan taufan Saffir-Simpson.



Perbandingan kekuatan antara taufan Katrina dengan Taufan Super Haiyan yang dikeluarkan NOAA.


Seterusnya, pada 7 November 2013 , Agensi Meteorologi Jepun (JMA) meningkatkan tahap kekuatan Haiyan kepada kategori 'Taufan' dengan kekuatan pusaran angin mencapai 235 km/h (145 mph). Walaubagaimanapun, 4 jam kemudian, JTWC mengganggarkan kelajuan Taufan Haiyan mencapai kelajuan 315 km/h (196 mph), menjadikan Haiyan sebagai ke-empat terkuat yang pernah direkodkan. Beberapa jam kemudian, titik tengah Taufan Super berkenaan membuat pendaratan pertama dikawasan daratan iaitu di kawasan Guiuan, Timur Samar di tengah Filipina tanpa ada perubahan pada kekuatan angin sedikit pun.

 

Dengan menghala ke arah barat laut iaitu ke arah Laut China Selatan, Taufan Super Haiyan membuat sekurang-kurangnya lima kali pendaratan di kawasan tengah Filipina. Ia menyebabkan kemusnahan yang teruk khususnya dikawasan tengah Filipina, iaitu dikawasan kepulauan Samar dan Leyte. Menurut kenyataan daripada United Nation (UN), dianggarkan 11 juta orang terkesan daripada kejadian bencana alam ini dan juga hilang tempat tinggal.

Sumber: NOAA

Isnin, 18 November 2013

Industri Perlombongan Berlian di Rusia

Masa depan industri perlombongan berlian Rusia sangat bergantung kepada Alrosa. Alrosa merupakan sebuah syarikat perlombongan yang memegang 97% daripada jumlah keseluruhan perlombongan di Rusia dan 24% kuantiti pengeluaran dunia. Rusia, dipercayai mempunyai simpanan berlian terbesar didalam bumi, sehingga mencecah 3.6 billion tan (anggaran). Kebanyakkan longgokan dijejaki di sekitar Republic of Sakha (Wilayah Yakutia) dan Arkhangelsk Oblast, yang kedua-duanya terletak di bahagian utara Rusia.

Geografi
Wilayah Yakutia dipercayai menyimpan 80% kandungan daripada jumlah keseluruhan simpanan berlian Rusia manakala Arkhangelsk Oblast dipercayai mengandungi 18% simpanan. Hampir kesemua berlian simpanan Rusia adalah daripada jenis paip-paip kimberlit, selain mendapat plaser.

Pada masa yang sama, kualiti berlian di Rusia mempunyai kelebihan dari segi gred purata dan kualiti batuan perumah berbanding longgokan sama jenis yang ditemui di Afrika Selatan. Wilayah Yakutia meliputi kawasan seluas 3 juta km2 dan lebih kecil sedikit jika dibandingkan dengan India, namun, populasi penduduknya hanyalah 900,000 orang.

Secara kasarnya, 40% daripada wilayah tersebut terletak diatas garisan Artik, dimana musim sejuk kadangkala boleh mencecah -50 Celsius. kebiasaanya, pekerja disini sudah terbiasa dengan suhu sejuk lampau dan mengetahui bahawa prospek berlian adalah sangat bernilai tinggi.

Jumlah simpanan berlian dikawasan ini dijangka akan meningkat apabila proses-proses penjelajahan secara bersepadu dilakukan, disokong oleh penggunaan teknologi berkeupayaan tinggi dalam bidang ekplorasi mineral bernilai tinggi.

Berlian Impak
Berhubungan dengan perkara diatas, kerajaan Rusia bercadang untuk melombong apa yang dipanggil sebagai 'berlian impak'- berlian yang dihasilkan/dijana oleh impak meteorit. Berlian impak terletak di longgokan Popigai dalam sempadan antara wilayah Krasnoyarsk dan Yakutia.

Berpandukan kepada pengulasan terkini mengenai berlian impak ini, proses pemineralan berlian impak di Rusia khususnya boleh mencecah trillion karat, iaitu, dianggarkan melebihi jumlah keseluruhan simpanan berlian dunia.

Walaubagaimanapun, berlian impak ini mempunyai pencirian yang berbeza. Ianya mungkin lebih keras daripada berlian konventional atau berlian buatan yang ada. Ianya boleh digunakan dalam pelbagai industri berteknologi tinggi termasuklah elektronik, optic, dan pembuatan kanta berkualiti tinggi.

Menurut pengkaji lagi, longgokan terkandung di dalam Popigai boleh menyamai tahap permintaan berlian dunia selama 3,000 tahun lagi.

Sumber: Engineering & Mining Journal, September 2013