Sabtu, 15 Jun 2013

Fosil cengkerang Zaman Perm berusia 260 juta tahun lalu ditemui di Kuala Lipis

 "Fosil ini dapat menerangkan usia dan persekitaran dimana ianya pernah wujud ratusan juta tahun lampau" katanya

Fosil brakiopod yang ditemui di Sungai Yu, Merapoh: gambar Sinar Harian Online

Pada 13 Jun lalu, Sinar Harian Online melaporkan tentang sebuah penemuan fosil cengkerang yang dipercayai berusia 260 juta tahun di kawasan Sungai Yu, Merapoh. Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) , Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cengkerang itu ditemui pada batuan di sepanjang jalan raya yang sedang dalam pembinaan. Jalan raya berkenaan akan menghubungkan Kuala Lipis ke Merapoh apabila ianya siap kelak.

Menurutnya lagi , fosil cengkerang berkenaan ditemui dalam perlapisan batu lumpur dan ianya adalah daripada jenis 'brakiopoda' yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek pada masa berkenaan. Merujuk kembali kajian-kajian terdahulu, kawasan Merapoh telah tersingkap beanyak fasies batuan berkapur dan sebagainya, yang pada akhirnya telah ditentukan usianya, iaitu Perm Atas (299 - 272 juta tahun lalu) oleh Nuraiteng (1993), manakala Batu Kapur disini telah dikenali sebagai Batu kapur Merapoh oleh Azhar Hussin (1990).


Selain itu, kawasan Merapoh juga tersingkap unit batuan syal yang juga kaya dengan fosil. Mohd Shafeea Leman (1994) mengenalpasti usia unit batuan syal sebagai Perm Akhir (254-252 juta tahun lalu) berasaskan jumpaan fosil brakiopod leptodus. Di kawasan berhampiran juga terdapat selang lapis nipis batu kapur dengan syal. Dalam kedua-dua unit batuan ini terdapat fosil Perm Atas. Selain daripada fosil Perm Atas, terdapat juga batu kapur yang mempunyai fosil Trias (252 - 201 juta tahun lalu). Oleh itu, usia batu kapur Merapoh berjulat antara Perm Atas hingga Trias. Jujukan ini adalah sambungan daripada Formasi Gua Musang.

Formasi Gua Musang adalah Formasi yang terdiri daripada beberapa jenis unit/ fasies batuan, antaranya ialah batu kapur (dominan), batu kapur berargilit, syal, batuan volkanit dan batu lodak. Ianya terdiri daripada beberapa unit atau fasies batu kapur yang berbeza. Formasi ini telah lama diperkenalkan oleh Yin pada tahun 1965, untuk batuan yang terdapat di sekitar Gua Musang, Kelantan selatan.

Lantai lautan kuno dipenuhi hidupan primitif

Berbalik kepada fosil yang ditemui di Sungai Yu ini, fosil berkenaan dikatakan berusia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, Lipis yang berusia 230 juta tahun pada 2011 lalu. Antara spesies brakiopoda yang dikenal pasti termasuklah Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.

Menurut Ahmad Rosli yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI) UKM, kira-kira 250 hingga 260 juta tahun lalu, kawasan Merapoh dipercayai berada di dasar lautan dan kawasan itu menjadi tempat kehidupan laut purba yang primitif. 

Haiwan primitif ini hidup dengan berenang bebas didasar lautan yang agak dalam serta pada iklim panas. Hidupan ini mati dan kemudiannya tertimbus oleh enapan sedimen dan kekal terawet menjadi batu untuk beratus juta tahun lamanya. Proses geologi mengangkat dasar lautan kuno terbabit ke permukaan bumi lalu menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang kita lihat pada hari ini.

Menurut Ahmad Rosli lagi, fosil cengkerang seperti ini turut ditemui di kawasan Padang Tengku; Aring; Sg bera serta Felda Mayam dan ini menunjukkan bahawa kawasan tersebut juga pernah dilitupi lautan pada masa berkenaan. "Fosil dapat menerangkan usia dan persekitaran dimana ianya pernah wujud ratusan juta tahun lampau" katanya.


Sejarah negara bukan hanya terletak pada zaman sebelum kemerdekaan atau semasa zaman Puteri Gunung Ledang/ Hang Tuah, tetapi ianya juga merangkumi penceritaan jutaan tahun lampau, zaman sebelum manusia wujud dan semasa bumi dipenuhi hidupan primitif.

Dapatkah kita semua bayangkan bahawa tempat yang kita duduki sekarang adalah sebuah kawasan yang berbeza pada suatu masa dahulu? Mari muhasabah diri kita. Bagaimana semua itu boleh berubah? Ya. Semua ini perlukan kajian yang lanjut dan terperinci untuk menjawab segala persoalan berkenaan. Percayalah. Semua ini bukanlah permainan sains atau cerita sains fiksyen semata-mata. Malah, ianya adalah sebuah ilmu yang tidak semua orang tahu dan sudah diceritakan dalam kitab Al-Quran lagi. Segalanya atas kekuasaan Allah. Bumi kita bersifat sangat fleksible, dan segala yang berlaku (proses alam) mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Kita patut berbangga, kerana mempunyai pengkaji-pengkaji tempatan yang hebat-hebat, yang terdiri daripada pelbagai pecahan ilmu. Apa yang perlu kita, sebagai rakyat biasa lakukan, adalah dengan menjaga bumi kita, khususnya Malaysia dengan sebaiknya. Jangan biarkan khazanah warisan alam kita yang berusia jutaan tahun terus dinodai dek  kemajuan dan pembangunan. Inilah warisan dan sejarah yang kita ada. Inilah warisan yang kita bakal tinggalkan untuk generasi akan datang. Jika semua khazanah ini dihancur musnahkan terus tanpa ada sedikit tinggalannya, jadi, apa yang kita ingin ceritakan kepada generasi akan datang selain sejarah kemerdekaan negara? fikir-fikirkan lah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan