Sabtu, 12 Februari 2011

Kerjalapangan Stratigrafi barat laut-keseluruhan

  Kerjalapangan Geologi Stratigrafi Kawasan Barat Laut Semenanjung Malaysia-Overall

   Kerjalapangan Geologi Stratigrafi Kawasan Barat Laut Semenanjung Malaysia yang merangkumi kawasan keseluruhan Kedah, Perlis serta Kepulauan Langkawi ini diadakan bagi memenuhi serta melengkapkan 2 jam kredit salah satu kursus pelajar tahun 2 semester pertama Program Geologi Sesi kemasukan 2009/2010. Perjalanan bermula dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi lagi dimana semua pelajar diminta berkumpul bagi mendengar taklimat ringkas berhubung perjalanan serta lokaliti yang akan dijelajahi selama penceritaan sepanjang lebih kurang seminggu berada di lapangan.

Seramai lebih kurang 71 orang pelajar yang mengikuti Program ini pada sesi berkenaan termasuklah diri penulis berpeluang menjelajahi ke beberapa tempat lagi di semenanjung Malaysia. Sebelum siri penjelajahan ke Barat Laut Semenanjung ini, beberapa tempat lagi sudah di jejaki, antaranya ialah kawasan Jalur Barat Semenanjung iaitu Kuala Pilah, Bahau, Segamat dan Gunung Ledang , Johor pada akhir semester pertama Tahun 1 , Jalur Tengah Pantai Timur termasuklah negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan pada tahun 1 hujung semester kedua dan kerjalapangan bagi kursus Pemetaan Geologi sepanjang semester pertama tahun 2 yang menjelajahi beberapa kawasan termasuklah kawasan Taman Pantun UKM, Sungai Tekala, Port Dickson Negeri Sembilan dan Ayer Hitam, Johor.

Dalam Kerjalapangan Barat Laut ini, banyak perkara baru dapat dipelajari antaranya beberapa jenis Formasi, antaranya Formasi Kubang Pasu, Formasi Mahang, Formasi Chuping, Formasi Jerai dan Formasi Semanggol yang kebanyakkannya terletak di Negeri Kedah Darul Aman dan Perlis Indera Kayangan. Manakala bagi kawasan Kepulauan Langkawi pula, Formasi Machinchang, Formasi Setul, Formasi Singa dan juga Formasi Chuping mengambil tempat di Langkawi. Selain formasi-formasi yang terbentuk dari batuan sedimen/ enapan didalamnya, terdapat juga beberapa batuan jenis lain seperti batuan igneus yang ditandai oleh batuan granit dan batuan metamorf yang di wakili oleh batuan marmar.

Selain itu, kursus ini juga memberi peluang kepada pelajar supaya mengenali asal usul tempat kita duduki, bagaimana proses yang membentuknya, usianya, persekitaran kunonya, kesan-kesan sejarahnya, serta pada masa yang sama dapat membangunkan perasaan kebertanggungjawaban terhadap misteri alam dan proses ketamadunan bangsa dan akhirnya dapat memelihara khazanah alam semula jadi untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Apa yang dimaksudkan dengan batuan endapan atau sedimen? Batuan endapan adalah sesuatu batuan yang telah terluluhawa sehingga menjadi sedimen, proses sedimen yang di angkut dan diendapkan, sehinggalah menjadi batuan sedimen [nota kuliah STAG2014 Sedimentologi, Prof Madya Dr. Kamal Roslan Mohamed]. Batuan sedimen juga umumnya adalah batuan yang terkandung didalamnya fosil-fosil atau hidupan kuno yang telah mati dan telah tertimbus seterusnya tersimpan selama beribu juta tahun lamanya didalam batuan sebelum di singkap dan di jelajahi oleh pengkaji dan ahli geologi amnya.

Kehadiran fosil-fosil ini sangat penting dalam bidang sedimentologi kerana selain dapat mengetahui jenis batuan berkenaan, kita juga boleh menentukan umur atau usia batuan sedimen tersebut melalui menganalisis speseis yang dijumpai. Jenis kawasan pemendapan batuan itu juga dapat ditentukan samada kawasan laut dalam, kawasan cerun laut dalam, kawasan perantaraan laut dalam- pertengahan,kawasan bentik, kawasan neritik, lagun, kawasan laut cetek, kawasan pantai, kawasan Sungai, kawasan tasik ataupun kawasan kipas laut dalam sekalipun.

Batuan igneus pula ialah batuan yang terbentuk disebabkan oleh proses volkanik yang berlaku diatas kerak bumi. Sumber bahan volkanik ini diperolehi didalam perut bumi. Batuan volkanik boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu jenis pluton (terbentuk didalam) spt rejahan granit dan jenis Ekstrusif (terbentuk diluar) seperti letusan gunung berapi. Batuan metamorf pula adalah mana-mana batuan, igneus mahupun endapan yang telah terbentuk dahulu, kemudian telah mengalami beberapa proses yang melibatkan samada proses tekanan yang tinggi sahaja pada suhu yang rendah, atau proses suhu yang tinggi pada tekanan yang rendah, atau proses tekanan dan suhu yang tinggi.

Seronok belajar geologi, bukan saja dapat pergi lapangan untuk menjelajah ke seluruh pelusuk desa dan kampung, sungai dan pantai,felda mahupun felcra, pelusuk hutan dan denai, malah dapat menimba ilmu tentang proses-proses yang berlaku di persekitaran kita sendiri. Apabila ilmu Biologi, Kimia ,Matematik, Sejarah dan Fizik terpadu secara perlahan-lahan melalui pelbagai proses yang rencam tetapi penuh dengan disiplin-disiplin yang tersendiri dan mengikut aturan alam. Kadang-kadang, kita sendiri tak terfikir tempat yang duduki kini adalah suatu tempat yang amat berbeza pada tiga ratus juta tahun lalu, dua ratus juta tahun lalu, seratus juta tahun lalu dan lima puluh juta tahun lalu. Itulah geologi.