Jumaat, 17 September 2010

Kerjalapangan Pantai Timur: Hari Ketujuh,9 Mei 2010

  Selepas bermalam di Kuantan buat kali keduanya selepas malam yang pertama, perjalanan menelusuri kawasan Jaluran tengah pantai timur kini hampir sampai ke penghujung dimana beberapa lokaliti mengisi masa-masa terakhir sebelum rombongan bertolak balik ke Bangi pada keesokan harinya. Selepas bersarapan, lokaliti pertama yang akan di cerap oleh pelajar Program Geologi Tahun 1, sesi 2009/2010 adalah di Kawasan Sri Jaya (tepi jalan).

 Lokaliti 22: kawasan Sri Jaya (tepi jalan) : 0915
   Lokaliti ini secara umumnya mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan lokaliti pada semalam hari iaitu Pantai Batu Hitam (Lokaliti 17). Pada keratan rentas batuan, dapat dilihat satu sempadan yang bersifat masif serta boleh ditentukan sempadanya dengan jelas. Menurut Prof, di bahagian atas iaitu di bahagian batuan yang lebih gelap ialah tanah basalt yang pada asalnya ialah batuan basalt yang telah mengalami proses luluhawa yang berpanjangan sementara bahagian bawah pula berwarna lebih cerah ialah tanah granit yang pada asalnya batuan granit yang telah mengalami proses luluhawa yang cukup lama dan hebat.

   Ukuran ketinggian tanah basalt dianggar kira-kira 3-5 meter manakala tanah granit bersifat lebih masif oleh kerana ianya meliputi kawasan bawah  tanah basalt yang agak besar dan tebal. Oleh itu, dapatlah ditentukan usia tanah granit ini lebih tua berbanding usia tanah basalt, yang menhempap tanah granit berkenaan. Dilokaliti ini, pelajar diminta untuk menentukan jenis mineral yang ada di kedua-dua jenis tanah berkenaan, selain membuat tafsiran tentang kehadiran tanah basalt serta perkaitannya dengan beberapa kawasan yang telah dicerap sebelum ini.
Sempadan batuan dapat dilihat dengan jelas

   Selain aktiviti mencerap, dikawasan ini juga pensyarah atau pemantau mengambil peluang dan masa yang ada untuk mengenali dengan lebih rapat pelajar-pelajar yang dipantau mereka. Antara soalan yang ditanya adlah antaranya biodata dan pilihan keberapa program ini selain program pilihan hati. Agak seronok dapat berkomunikasi sesama pelajar serta pensyarah dalam suasana yang cukup relak dan harmoni.

Lokaliti 23: Kawasan Maran/Simpang Jengka : 1105
   Bertolak dari daerah Kuantan ke daerah Maran memakan masa lebih kurang 45 minit cukup untuk merehatkan sendi-sendi yang kelihatan sakit-sakit serta longgar-longgar. Lokaliti ini terletak di belakang Kompleks Belia daerah Maran (Kalau tidak silap) yang mana kami perlu melintasi sebatang jalan yang agak besar serta merbahaya. Walaubagaimanapun, misi bagi meneruskan agenda kerja lapangan ini perlu diteruskan dengan lancar tanpa ada perubahan rancangan sedikitpun.
    Bercerita mengenai geologi kawasan lokaliti 23 ini, kawasan berbukit ini terletak di Formasi Tembeling yang berusia Jura-kapur. Ianya merupakan endapan benua dan terdiri daripada selang lapis batu pasir, batu lumpur dan konglomerat yang kebanyakkanya berwarna kemerahan. Konglomeratnya ialah dari jenis sokongan butiran dan juga sokongan matrik, klas kelikir terdiri daripada serpihan batuan dan kuarza. Pelajar diminta memerhatikan saiz, bentuk dan cara susunan klas-klas yang terdapat dalam konglomerat di sini.
Aktiviti cerapan

   Di sini juga, ada yang mengatakan jenis konglomerat diatas berbeza dengan jenis konglomerat di bahagian bawah bukit berkenaan. Walaubagaimanapun, lokaliti ini perlu dicerap dengan lebih mendalam kerana pada lokaliti yang seterusnya, iaitu lokaliti senyap, pelajar perlu menafsir sendiri jenis mineral pembentuk batuan, jenis sokongan butiran, warna, sekitaran pengendapan,saiz dan bentuk, batuan apa yang membentuk klas dan matrik serta nama konglomerat tersebut.

Lokaliti 24: Kg. Awah-Temerloh (Konglomerat)-Lokaliti Senyap : 1435
   Lokaliti ini merupakan lokaliti senyap dimana pensyarah-pensyarah akan beredar dari kawasan lokaliti, yang tinggal hanyalah rombongan 73 pelajar Goelogi serta 3 pembantu yang lain. Kami di berikan tugasan untuk mengisi penuh jadual mengenai lokaliti ini yang antara lain meminta pelajar mengelaskan jenis batuan konglomerat di sini. Antara kekosongan yang perlu diisi antaranya ialah saiz butiran klas, jenis sokongan, sekitaran, susunan klas, warna jasad batuan dan pengelasan yang lain.
   Agak menarik kerana kami juga saling bantu membantu menyiapkan apa yang dimahukan oleh pensyarah kami, serta melukiskan apa yang penting bagi memberi gambaran sebenar tentang lokaliti senyap ini.Walaupun kami saling bantu membantu dalam usaha menyiapkan tugasan kerja lapangan di lokaliti ini, banyak perkara yang dipelajari sepanjang berada di lokaliti senyap ini.
   Antaranya, kesedaran tentang kepentingan mengenal jenis batuan khususnya konglomerat bagi mengetahui sejarah asal mulanya serta perkaitanya dengan beberapa formasi yang ada. pengetahuan yang lebih terperinci dan rencam diperlukan dalam usaha menentukan serta menafsir beberapa maklumat yang penting semasa berada di sesuatu lokaliti. Jenis sekitaran juga dapat ditentukan sama ada sekitaran kebenuaan ataupun sekitaran laut dalam.
Beberapa pelajar sedang mencari tempat berteduh

Lokaliti 25: Jalan Pintas-Mentakab : 1735
Keadaan lokaliti

   Lokaliti ini merupakan salah satu lokaliti tepi jalan yang cukup unik oleh kerana sejarah geologinya yang lain daripada yang lain. Kawasan ini terletak di atas Formasi Semantan (juga dikenal sebagai Formasi Kerdau). Terdapat lapisan batu pasir bertuf yang berselang lapis dengan batu lumpur dan sedikit konglomerat. Jujukan batuan dan struktur endapan disini menunjukkan pengendapan telah berlaku di bawah cerun benua oleh arus kekeruhan atau aliran jisim.
Lokaliti terakhir untuk hari ini

   Beberapa struktur lain yang ada di kawasan ini antaranya ialah perlapisan dan struktur nendatan (Slumping) serta perlapisan tergred. Apa yang menariknya, di lokaliti ini semua pelajar geologi yang mengikuti rombongan ke Kawasan Jalur Tengah diuji menggunakan kompas jenama Silva Ranger 15 TD-CL . Pemarkahan bergantung kepada budi bicara pensyarah yang mengendalikan sesebuah kumpulan. Antara elemen pemarkahan antaranya ialah menetukan jurus serta kemiringan sesebuah satah batuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan