Sabtu, 18 Jun 2011

Sains Bumi Dalam Pembangunan Negara

Sains Bumi Dalam Pembangunan Negara

(berdasarkan Kertas Perbincangan Mesyuarat Dialog MPKSN dengan Persatuan Saintifik , Feb 1995)

Pengenalan
  kertas ini bertujuan memperkenalkan:
·         Bidang ilmu Sains Bumi, daripada aspek skop, cabang ilmu, peranan, aktiviti dan sumbangannya kepada pembangunan dan kemajuan negara.
·         Sains Bumi kepada MPKSN supaya bidang ilmu sains ini diberikan kedudukan dan kepentingan yang setaraf dengan bidang ilmu sains yang lain.
Konsep Sains Bumi
   Di Malaysia Sains Bumi atau Sains Geologi telah dikenal oleh sebilangan kecil masyarakat sejak sebelum merdeka lagi. Pada masa itu, kerajaan Inggeris telah menubuhkan sebuah jabatan kerajaab bernama, Jabatan Penyiasatan Kajibumi (Geological Survey Department). Peranan utama jabatan ni pada masa itu untuk mencarigali dan membangun sumber mineral negara , terutamanya bijih timah. Jabatan ini masih kekal hingga sekarang.
   Di negara maju, bidang Sains Bumi telah berkembang dan bercambah menjadi ilmu yang sangat luas dan pragmatik, danbersifat sebagai sains gunaan yang menyeesaikan persoalan semasa manusia sejagat daam aspek sumber tabii, tenaga, dan sekitaran. Sains Bumi (earth science) disebut juga sebagai Sains Geologi (Geological Science) atau Geosains (Geoscience).
   Sains Bumi boleh ditakrifkan sebagai "kajian tentang planet bumi-meliputi bahan pembentuknya, proses yang bertindak, hasil, dan penghuraian sejarah planet dan hidupan semenjak asal mulanya". Sains Bumi meliputi kajian mengenai udara (atmosfera), lautan (hidrosfera) dan sains tanah (agronomi).
   Subbidang Sains Bumi tradisi meliputi bidangilmu berikut: petrologi dan mineralogi (kajian mengenai batuan dan mineral), geologi fizikal (kajian mengenai proses yang bertindak di permukaan dan dalaman bumi, dan hasilnya), sedimentologi dan stratigrafi (kajian mengenai sedimen dan sekitaran pembentukannya), paleontologi (kajian mengenai hidupan kuno dan usia bumi), geologi ekonomi (kajian mengenai mineral yang boleh diterokai sebagai sumber ekonomi), geofizik (penggunaan kaedah fizik dalam penerokaan geologi), dan geokimia (penggunaan kaedah kimia dalam penerokaan geologi).
   Subbidang Sains Bumi moden pula meliputi ilmu berikut: geologi petroleum (kajian untuk meneroka dan membangun sumber minyak dan gas), geologi kejuruteraan (bidang geologi yang membantu penyiasatan dan pembangunan infrastruktur kejuruteraan berat), geologi bandar (bidang geologi yang terlibat dalam perancangan pembangunan bandar), geologi sekitaran (bidang geologi berkaitan dengan cirian dan pemuliharaan sekitaran), hidrogeologi (kajian untuk meneroka dan membangun sumber air tanah) dan geologi samudera (aspek geologi yang terlibat dengan cirian fizikal dan sumber mineral lautan).
Ahli Sains Bumi di Malaysia
   Pada masa ini (1995), jumlah ahli Sains Bumi Profesional di Malaysia dianggarkan sekitar 750 orang. (jumlah ini mungkin meningkat pada masa ini). Sejumlah besar mereka bertugas di pelbagai sektor berikut:
  • Jabatan Penyiasatan Kajibumi : Sekitar 250 orang, bertugas sebagai pegawai geologi.
  • Universiti tempatan : sekitar 100 orang, sebagai pensyarah, tutor, dan pegawai penyelidik.
  • Institusi Penyelidikan : sekitar 50 orang, sebagai pegawai penyelidik.
  • Industri Petroleum : sekitar 200 orang, sebagai ahli geologi petroleum.
  • Industri Perlombongan : sekitar 30 orang, sebagai ahli geologi perlombongan.
  • Industri Kejuruteraan: sekitar 50 orang, sebagai ahli geologi kejuruteraan.
  • Industri lain: sekitar 70 orang, dalam pelbagai jabatan kerajaan, terutama kerajaan negeri, sebagai ahli perancang dan ahli geologi.
(data mengikut tahun 1995, semasa rencana ini disiarkan)
   Jumlah ini amat kecil dan tidak dapat menampung keperluan negara semasa.
Keperluan ahli Sains Bumi Masa Hadapan
   Untuk mencapai hasrat Negara Maju, negara memerlukan sekurang-kurangnya 5,000 ahli Sains Bumi menjelang 2020. Angkaini berdasarkan perbandingan keperluan di negara maju seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka yang diperlukan dalam sektor awam dan swasta.
   Di sektor awam mereka diperlukan dalam agensi-agensi berikut:
  • Jabatan Penyiasatan Kajibumi: perkembangan skop dan bidang tugas kepada perancangan dan pengurusan sumber bumi, pembangunan bandar, dan kawalan bencana geologi memerlukan ramai ahli geologi dalam bidang hidrogeologi, geologi bandar, geologi kejuruteraan, geologi samudera dan geologi sekitaran.
  • Jabatan Kerja Raya : perkembangan terkini memintanya mengwujudkan unit kawalan geoteknik mengawasi pembangunan kawasan bermasalah. Seperti di negara maju yang lain, unit ini memerlukan ramai ahli geologi kejuruteraan.
  • Jabatan Alam Sekitar : perkembangan ke arah negara maju menuntut jabatan ini lebih bersedia dalam [elbagai aspek kawalan alam sekitar, terutamanya kawalan pencemaran dan bencana geologi. Jabatan ini perlu mempunyai ramai ahli geologi sekitaran dan geologi bandar.
  • Jabatan Bekalan Air : pembangunan masa hadapan memerlukan pembangunan sumber air tanah, oleh itu ahli hidrogeologi diperlukan untuk penerokaan dan pengurusan sumber ini.
  • Unit Perancang Bandar dan Wilayah : perancangan bandar dan wilayah dimasa hadapan lebih rumit dan mencabar, pendekatan bersepadu diperlukan untuk memastikan pembangunan yang optimum dan selamat. Unit ini memerlukan ahli geologi bandar.
  • Kerajaan Negeri dan Majlis Tempatan : perkembangan terkini menunjukkan Kerajaan negeri telah berkembang ke arah pembangunan sumber bumi untuk keperluan industri sementaramajlis tempatan mulai mengurus pembangunan di kawasan bermasalah, seperti kawasan bukit. Kedua-dua kegiatan ini memerlukan input daripada ahli geologi ekonomi dan geologi bandar.
   Di sektor swasta pula ahli geosains dalam industri sokongan berikut:
  • Kerja Kejuruteraan Awam : perancangan projek-projek gergasi terutama penerowongan, ruang bawah tanah, lebuh raya, empangan, dan pembangunan di kawasan bermasalah memerlukan khidmat perundingan ahli geolgoi kejuruteraan, geologi sekitaran dan geologi bandar.
  • Industri minyak dan Gas : industri ini masih terus berkembangan dan keperluan ahli geologi petroleum masih terus meningkat.
  • Industri perlombongan : walaupun perlombongan tradisonal (seperti timah dan tembaga) telah berkurangan, tetapi perkembangan terkini menuntut keperluan yang tinggi untuk bahan binaan (terutama batu dimensi) dan bahan industri (sumber bumi untuk pelbagai keperluan industri). Tuntutan ini memerlukan ramai ahli geologi ekonomi dan geologi sekitaran.
  • Industri Pelancongan : pembangunan industri pelancongan memerlukan penerokaan dan pengurusan sumber intristik bumi dengan berkesan. Ahli geologi sekitaran diperluka untuk sektor ini.
  • Industri Sokongan : satu daripada khidmat sokongan yang utama kini ialah kawalan alam sekitar , kerja-kerja penyiasatan impak alam sekitar memerlukan ramai ahli geologi sekitaran.

PENDIDIKAN SAINS BUMI
   Pendidikan Sains Bumi di Malaysia merupakan yang terkebelakang berbanding dengan perkembangannya di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Australia. Di Malaysia, Sains Bumi (geologi) hanya diajar di peringkat Universiti.
   Antara Universiti yang terlibat dalam pengajaran Sains Bumi seperti berikut:
·         Jabatan Geologi, Universiti Malaya (sejak 1961)
·         Jabatan Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (sejak 1970) (kini dikenali sebagai Program Geologi, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, FST).
·         Jabatan Sains Bumi,Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Sabah (sejak 1985) (kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Sabah )
·         Unit Geofizik, Pusat Pengajian Fizik, Universiti Sains Malaysia (sejak 1970)
·         Jabatan Sains Tanah, Universiti Pertanian Malaysia (sejak 1978) (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia)
   Di negara maju, bidang Sains Bumi mulai diajar di peringkat Sekolah Menengah. Di peringkat Univesiti pula, banyak unversiti mewujudkan Fakulti Sains Bumi yang mengandungi beberapa Jabatan dibawahnya.
   Pendidikan Sains Bumi di peringkat sekolah bukan sahaja bertujuan membangun kerjaya, tetapi juga bidang ilmu sains tabii dan gunaan. Bidang ini memberikan kesedaran tentang Sains Fizikal, seperti bidang biologi untuk Sains Hayat. Sains Bumi dan Sains Hayat merupakan dua bidang utama sains yang memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
   Disamping itu, pendidikan Sains Bumi di peringkat sekolah boleh bersifat sebagai ilmu sokongan tenaga kerja separuh mahir dalam industri petroleum, perlombongan dan kejuruteraan awam.
Disyorkan: Negara harus memandang ke hadapan dan mula merancang program dan kurikulum Sains Bumi di peringkat Sekolah Menengah (tingkatan 4 dan 5) seperti di negara-negara maju.
   Di Peringkat Sekolah aspek Sains Bumi berikut boleh mulai diperkenalkan. Bumi dan alam semesta, Atmosfera dan Hidrosfera, Mineral dan Batuan, Sifat Dalaman Bumi, Fosil dan Skala Masa Geologi, Sejarah Perkembangan Bumi, Proses-proses Eksogen dan Endogen, Sumber Bumi dan Kegunaan, Bencana Geologi, dan Geologi dan Alam Sekitar.
    Tenaga pendidik pada masa ini hanya terbatas di peringkat Universiti.  Oleh itu, program membangunkan tenaga pendidik untuk sekolah perlu dilakukan segera. Dan perlaksanaan program Sains Bumi di peringkat Sekolah perlu dijalankan sevara beransur.

Pemuliharaan Khazanah Geologi
   Ilmu geologi antara lain, melihat rekod sejarah perkembangan Bumi sejak 4,600 juta tahun yang lampau. Sama seperti ilmu arkeologi, sumber dan rekod sejarah tersimpan di dalam batuan yang terdapat di seluruh negara. Salah satu cara mengabdikan rekod sejarah ialah penyimpanan sumber ini di Muzium. Cara lain ialah dengan mewartakan kawasan tertentu sebagai khazanah sejarah iaitu dalam bentuk Taman Tabii.
   Di Malaysia telah wujud beberapa Muzium Geologi dalam bentuk yang agak sederhana. Di antaranya ialah :
·         Muzium Negara, Kuala Lumpur : Terdapat bahagian kecil menyimpan koleksi berkaitan geologi iaitu pancalogam 9besi, timah, tembaga, keluli, perak, emas dan bahan tembikar prasejarah). Beberapa model lapuk mengenai batuan dan skala bumi turut dipamerkan.
·         Muzium Timah Gedung Raja Abdullah, Kelang : mempamerkan pelbagai koleksi berkaitan industri bijih timah di Malaysia. Maklumat geologi meliputi peta geologi dan taburan sumber mineral.
·         Muzium Geologi, Jabatan Penyiasatan Kajibumi, Ipoh : Ditubuhkan pada tahun 1957. Bahan koleksi termasuklah 600 mineral, 150 batuan, 200 fosil, 200 batu permata, 165 model hablur, 21 mineral industri, dan 5 peralatan pra-sejarah. Koleksi dalam dan luar negara. Muzium didaftar sebagai salah satu destinasi pelancongan dan dibuka untuk orang ramai.
·         Muzium Geologi, Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur : Ditubuhkan pada tahun1965. Mempunyai koleksi batuan, mineral , fosil dan pelbagai model pengajaran mengenai sejarah perkembangan bumi. Banyak koleksi dalam dan luar negara terdapat dalam muzium ini.
·         Muzium Geologi, Jabatan Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi : Di tubuhkan pada tahun 1985. Mempunyai koleksi batuan dan fosil tempatan yang agak lengkap. Selain itu, terdapat koleksi mineral, carta, model pelbagai proses geologi untuk pengajaran.
Disyorkan: Muzium sedia ada perlu ditingkatkan kualitinya. Kerajaan boleh memberikan batuan kewangan secara berterusan. Muzium sedia ada perlu ditingkatkan tarafnya menjadi Muzium Sejarah Semulajadi Negeri atau Muzium Khas di universiti. Semua Muzium ini boleh ditingkatkan imejnya, dan dijadikan sumber tarikan pelancongan.
   Sebuah Muzium Sejarah Semulajadi Kabangsaan perlu diwujudkan. Muzium ini boleh diletakkan di kawasan pelancongan utama dan menyediakan koleksi lengkap mengenai sejarah perkembangan muka bumi dan pembentukan batuan di Malaysia. Untuk menambahkan tarikannya, ia boleh dirancang dalam bentuk Muzium Generasi Ke-3, iaitu yang bersiafat interaksi.
Taman Semulajadi : Beberapa taman negara di Malaysia mempunyai sifat taman semulajadi, contah yang baik ialah Taman Gua Batu kapur Mulu. Banyak lagi khazanah geologi unik dan menarik boleh dibangunkan sebagai Taman Semulajadi.
Disyorkan : Jabatan Penyiasatan Kajibumi, Perbadanan Pembangunan Pelancongan dan pakar geologi tempatan harus digalak untuk meneroka tempat baru untuk dijadikan Taman Semulajadi. Usaha ini dapat memepertingkatkan sumbangan pengetahuan geologi untuk pembangunan negara, terutamanya pembangunan industri pelancongan.
SAINS BUMI DAN INDUSTRI
   Sumbangan ahli Sains Bumi dalam pembangunan industri tidak begitu kelihatan oleh masyarakat biasa, oleh itu sering dipandang remeh atau dilupakan. Ahli Sains Bumi sejak sekian lamanya, menjalankan peranan utama dalam penerokaan dan eksplorasi bahan bumi, terutamanya mineral, bijih dan petroleum. Pada masa ini, ahli Sains Bumi turut menyumbang dalam pelbagai aktiviti perancangan dan kejuruteraan, terutamanya dalam perancangan bandar dan rantau, penyiasatan tapak untuk infrastruktur kejuruteraan utama, dan pengurusan alam sekitar.
Berikut merupakan sektor industri yang mempunyai penglibatan ahli geosains profesional:
  • Industri Perlombongan : Pengwujudan Jabatan Penyiasatan Kajibumi oleh Kerajaan Inggeris sejak awal kurun ke-19 bertujuan meneroka sumber bijih, terutama bijih timah. Pembangunan ekonomi negara sebelum merdeka, terutama di daerah Ipoh dan Kuala Lumpu, didorong oleh perlombongan bijih timah. Walaupun pada masa kini, perlombongan bijih telah menjadi kurang penting, tenaga ahli Sains Bumi harus disalurkan pula pada penerokaan sumber bumi tidak tradisi, seperti bahan binaan dan bahan industri. Sebahagian pula boleh dieksport ke luar negara yang kurang maju untuk meneroka mineral bijih di sana.
  • Industri Minyak dan Gas: Industri minyak dan gas di Malaysia masih di tahap tinggi. Sekurang-kurangnya 200 ahli Sains Bumi tempatan bertugas di beberapa Syarikat Minyak untuk meneroka dan membangun sumber petroleum ini. Keperluan ahli sains Bumi dalam sektor ini masih meningkat, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan bercadang untuk meneroka sumber petroleum di luar negara.
  • Kerja Kejuruteraan Awam : Di Malaysia , penglibatan ahli Sains Bumi dalam projel kejuruteraan awam sangat terbatas. Sumbangan mereka hanya pada kerja penyiasatan tapak projek-projek utama seperti pembinaan empangan dan penerowongan. Sumbangan ahli Sains Bumi dan Jurutera Awam dalam hampir semua projek kejuruteraan adalah bersifat pelengkap (complementary). Di negara maju, kedua-dua disiplin ini bekerjasama untuk hampir kesemua projek kejuruteraan sederana dan besar, bagi memastikan projek dilaksanakan secara bersesuaian, berekonomi dan selamat. Dengan beberapa kejadian bencana, seperti tragedi Highland Tower, kesedaran kerjasama antara ahli Sains Bumi dan Jurutera Awam mulai wujud, dan diharap di masa hadapan lebih ramai ahli Sains Bumi berkecimpung dalam industri ini.
  • Penyelidikan dan Pembangunan : Untuk mencapai hasrat menjadi negara maju, banyak usaha R&D perlu dijalankan. Di antara usaha R&D dalam bidang Sains Bumi yang perlu diperkenal dan dipertingkatkan ialah pembangunan pengkalan data potensi sumber bumi, program penerokaan sumber bumi di kawasan lembah dan lepas pantai, aspek geologi sekitaran, dan beberapa aspek geologi gunaan yang lain.
  • Industri Lain: Penglibatan ahli Sains Bumi di Malaysia dalam sektor yang lebih moden masih terbatas. Keadaan ini wujud kerana bukan bidang Sains Bumi ini asing kepada masyarakat awam, tetapi bidang ini kurang diketahui di kalangan pegawai kerajaan. Namun demikian, beberapa kerajaan negeri telah mula menggunakan ahli Sains Bumi sebagai perancang pembangunan sumber bumi dan perancangan rantau. Di antara sektor yang boleh memanfaatkan kepakaran Sains Bumi ialah Perancangan Rantau dan Guna Tanah, Pengurusan Pembangunan Bandar, Kawalan dan Pemuliharaan Sekitaran, Pembangunan Pelancongan dan Pembangunan Sumber Air Bawahtanah.

Rujukan : Kertas Perbincangan Mesyuarat Dialog MPKSN dengan Persatuan Saintifik yang dibentang oleh Persatuan Geologi Malaysia dan diterbitkan didalam "Warta Geologi, Vol. 21, No. 1, Jan-Feb 1995". Sesetengah fakta/ayat/maklumat yang ada didalam artikel diatas berkemungkinan sudah tidak relevan pada masa kini/ sudah dilaksanakan, namun, secara amnya, artikel ini di terbitkan kembali bagi mendapatkan pandangan umum berkaitan 
pelaksanaan Ilmu Sains Bumi di peringkat Sekolah.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan