Ahad, 29 Mei 2011

Kegagalan Cerun di Batu 14, Hulu Langat, Selangor : Peringatan untuk semua



Sorotan Peristiwa (tanpa urutan)

Malaysia
Genting Sempah, 30 Jun 1995
   Akibat hujan yang turun dengan kadar yang tinggi, satu jatuhan bahan bumi iaitu tanah dan batu bata bercampur dengan air hujan turun melewati Gunung Sempah sehingga ke jalan raya Genting Sempah, sehingga mengorbankan 21 mangsa serta mencederakan 23 yang lain, dan kebanyakan mangsa terdiri daripada pengguna jalan raya tersebut.

   Air hujan bercampur dengan bahan bumi seperti tanah adalah faktor pencetus kepada tragedi tanah runtuh ini. Bahan dari tanah runtuh ini memasuki sistem saliran, dan bertukar kepada aliran debris yang membawa sekali pokok-pokok yang telah tercabut akarnya , tanah terkeruk serta batu bata besar bersaiz boulder. Bahan-bahan ini dibawa sejauh lebih kurang 1 km.

Pos Dipang, 30 Ogos 1996
   Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh berlaku di sekitar hulu sungai Dipang, menyebabkan aliran tanah runtuh mengempang air disekitar sungai Dipang dibahagian hulu. Akibat air yang diempang tidak dapat menahan jumlah air yang ada, dan akhirnya, dengan jumlah air yang banyak, berpadu dengan kelajuan aliran debris di sungai Dipang yang luar biasa, menyebabkan, aliran besar ini mengeruk sekali kampung orang asli di sekitar Pos Dipang. Tragedi menyebabkan 44 mangsa terkorban dan memusnahkan kampung di sekitar Pos Dipang.


Gunung Pulai, 27 Disember 2001
   Kadar penurunan hujan yang luar biasa, menjadi penyebab kepada berlakunya tanah runtuh yang menyebabkan 5 nyawa terkorban, kebanyakannya penduduk sekitar, serta merosakkan kawasan rekreasi Gunung Pulai. Kejadian juga merosakkan beberapa buah rumah dan kenderaan. Pakar menyatakan terdapatnya 127 titik bagi lokaliti berkemungkinan cenderung tanah runtuh di sekitar Gunung Pulai

   
Lain-lain:
*      Taman Hillview, November 2002, mengorbankan 8 nyawa serta mencederakan 5 orang, kerugian harta benda.
*      Taman Bukit Mewah, 2008
*      PLUS Highway Bukit Lanjan, November 2003.
*      PLUS Highway Gua tempurung, Perak. 1995, mengorbankan seorang pemandu lori serta mencederakan kelindan lori terbabit.


Luar Negara (sebahagian kejadian)

*      Tanah runtuh Elm yang berlaku pada pada 1881 merupakan salah satu kejadian tanah runtuh yang paling banyak didokumentasikan kerana sewaktu kejadian, terdapat saksi kejadian yang melihat kejadian itu serta merakamkan masa pergerakan tanah sejak dari mula ianya bergerak lagi. Kejadian mengorbankan 115 orang dengan jumlah tanah yang runtuh dianggarkan sekitar 10 juta padu meter dengan kelajuan sekitar 80 m per saat.
*      Mudslide (tanah yang runtuh berupa lumpur) di Venezuela pada 1999-2000 mengorbankan lebih 15,000 mangsa.
*      Banjaran Alps, Oktober 2000, hujan mencetuskan banjir dan tanah runtuh sehingga mengorbankan 37 mangsa serta kerugian dianggarkan 450 million USD.
*      Sungai Dadu,China,  1786. Gempa bumi menyebabkan tanah runtuh serta meruntuhkan empangan yang dibina disungai tersebut, menyebabkan lebih 100,000 mangsa terkorban iaitu penduduk di sekitar tebing sungai tersebut.
*      China, 1920. Lebih 200,000 mangsa hilang atau terkorban apabila gempa bumi kuat mecetuskan tanah runtuh , dan pada masa yang sama, berlakunya musim sejuk.


  • 21 Mei 2011, Sabtu : 14.15 : Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa, Hulu Langat.




  Tiada siapa yang menyangka, bahawa satu tragedi menyedihkan akan berlaku pada tarikh berkenaan. Suatu tragedi yang mengorbankan mangsa yang bukan sedikit, dan berpunca daripada salah satu bencana yang sepatutnya dapat dielakkan. Apa yang pasti, tragedi 21 Mei 2011 ini akan mengingatkan kita, rakyat Malaysia kepada beberapa tragedi yang berlaku pada beberapa dekat lepas. Tragedi Highland Tower yang mengorbankan 48 nyawa, manakala Tragedi Bukit Antarabangsa/ Taman Hill Views yang turut mencatatkan kehilangan nyawa.

  Kegagalan cerun merupakan salah satu bencana yang bukan asing lagi bagi rakyat Malaysia, malah, menjadi salah satu masalah terutamanya jenis cerun di negara kita yang berada pada kawasan tropika. Kegagalan cerun atau tanah runtuh sebenarnya boleh didefinisikan sebagai pergerakan tanah atau batu atau bahan bumi jatuh dari sesebuah cerun.


  Secara sepintas lalu, tanah runtuh dapat dikelaskan kepada beberapa jenis, antaranya rayapan, tanah runtuh putaran, tanah runtuh translasi, jatuhan blok, jatuhan batuan dan pelbagai lagi pengelasan yang diberikan. Pada kebiasaannya, tanah runtuh bergantung kepada banyak faktor yang menjadi penyebab berlakunya aktiviti bencana ini. Di Jepun, lebih 10,000 purata jumlah hujan turun menyebabkan berlakunya aktiviti tanah runtuh yang mengorbankan secara purata 400 nyawa setahun.

   Kegagalan cerun boleh berlaku dari pelbagai punca, namun selalunya hanya satu sahaja faktor penyebab berlakunya kejadian kegagalan cerun ini, bergantung kepada keadaan geografi sesuatu kawasan, jenis tanah, cuaca, iklim dan pelbagai faktor kemungkinan lain. Secara umumnya, di Malaysia ini, kebanyakankegagalan cerun berlaku dengan pelbagai akibat namun bersandarkan satu sahaja faktor pencetus.

   Kefahaman mengenai iklim sesuatu negara kita perlu bagi mencari punca faktor pencetus tersebut seterusnya mengatasinya supaya tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Malaysia merupakan salah sebuah negara beriklim tropika dengan julat suhu yang rendah juga mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Oleh itu, pada kebiasaanya, faktor pencetus bagi suasana iklim di Malaysia berkait rapat dengan hujan, dimana air merupakan salah satu faktor pencetus utama kegagalan cerun di negara-negara beriklim tropika ini.

  Satu lagi kawasan  yang mempunyai risiko tanah runtuh ialah di wilayah Kundasang, Sabah. Walaupun kawasan ini secara umumnya telah dikaji dan di cari penyelesaiannya oleh pakar. Kemungkinan juga jalan penyelesaian juga sudah di laksanakan di kawasan tersebut, namun, sebagai langkah berjaga-jaga dan sebagai  pengetahuan umum, keadaan di Kundasang akan di kupas.

  Kawasan ini telah dicerap secara keseluruhannya oleh pakar, dan mendapat beberapa keputusan. Keputusan-keputusan yang diperolehi oleh pakar dilapangan merupakan bukti-bukti lapangan yang boleh digunakan dalam analisis pengkajian lanjutan dalam kawasan tersebut. Apa yang diperolehi pakar adalah, wujudnya gelinciran tanah di sekitar pekan Kundasang ini. Namun, kadar pergerakannya adalah perlahan dan berkala. Apa yang dapat dilihat adalah, terdapat retakan-bukaan pada jasad tanah yang lebar, dan terjadi akibat regangan. Batang-batang pokok kelihatan condong, mata air keluar daripada celah tanah dan struktur binaan yang kelihatan retak dan terbelah dua.

   Dinding penahan juga kelihatan terpecah, selain paip yang pecah dan terputus dimana tangki air mengalami kebocoran berkali-kali walaupun telah dibetulkan, kemungkinan berlaku akibat dasar tangki yang teranjak. Jalan-jalan raya teranjak, tersesar dan terjatuh. Setelah dianalisis, ternyata terdapatnya unsur-unsur berlakunya pergerakan tanah yang rencam dengan pelbagai jenis dan saiz, dan disatukan dalam satu nama yang dipanggil ‘Tanah Runtuh Kompleks Kundasang’.

   Tanah runtuh ini berlaku disebabkan proses geologi mahupun bukan proses geologi. Proses geologi termasuklah pekan Kundasang di sempadani oleh beberapa set sesar major mahupun minor , selain kadar air bawah tanah yang tinggi, terutama dikawasan yang landai. Proses bukan geologi pula ialah akibat proses penggondolan hutan dan penarahan bukit secara berleluasa, sistem perparitan dan saliran yang tidak sempurna, banyak berlakunya kebocoran paip air bawah tanah, gegaran kenderaan berat dan ditambah oleh hujan lebat.
Oleh itu, dapatlah di simpulkan, bahawa pengetahuan mengenai kewujudan, sebaran dan kelakuan sesuatu  jasad tanah amat penting dalam perancangan pembangunan, kawalan serta pengurusan risiko bencana. Gelinciran tanah juga tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun, pergerakannya boleh diperlahankan dan risikonya dapat direndahkan dengan kaedah kejuruteraan tertentu. Bagi kawasan yang dikenalpasti dan darjah keterancaman yang sangat tinggi, langkah sebaiknya adalah menjauhi kawasan tersebut.

   Apa yang diharapkan, agar perkara-perkara sebegini sepatutnya boleh dielakkan apalagi dengan pertambahan kadar jurutera di negara ini yang begitu mendadak. Perlulah diingatkan, bahawa dalam kes-kes sebegini, jurutera sepatutnya mengambil iktibar dari apa yang berlaku dengan mendengar nasihat dan berkerjasama dengan ahli geologis supaya kejadian yang sama dapat dielakkan dan dalam masa yang sama, duit rakyat yang berjumlah berjuta billion ringgit dapat diselamatkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Bukan berniat mahu menyalahkan ahli jurutera semata, namun, mendengar keluhan geologis pada beberapa tahun lampau yang seperti dianak tirikan, perkara ini amatlah tidak berpatutan.
  
  
Sumber: Prof. Dr. Tajul Anuar Jamaluddin, ‘Geological Consideration in Slope Engineering & Landslides type and Process’ Lecture notes, Geology Programme, Faculty of Science and Technology, Universiti Kebangsaan Malaysia.