Sabtu, 18 Mei 2013

Gempa Valdivia, Chile 1960 : Gempa terkuat dalam sejarah


Pada petang ahad 22 Mei 1960, kira-kira pukul 3.11 petang waktu Chile, satu gempa bumi kuat berukuran 9.5 pada skala richter telah menggegarkan kawasan Temuco. Dari segi interpritasi tektonik, Gempa bumi Valdivia ini berlaku apabila terdapat aktiviti pelepasan tenaga mekanikal antara plat Nazca yang telah tersubduksi dibawah plat Amerika Selatan, di sekitar Jurang Peru-Chile.




Kawasan gempa secara relatifnya cetek (33km), oleh itu, ombak tsunami telah terhasil disekitar lautan pasifik. Di sepanjang kawasan pantai Chile, iaitu dari wilayah Lebu ke Puerto Aisen , ombak tsunami mencecah 11.5 m (38 kaki) lalu memusnahkan kawasan Puerto Saavedra secara total. Ombak setinggi 8m (26 kaki) menyebabkan kemusnahan yang teruk di Corral.

Ombak tsunami telah menyebabkan 61 orang maut di Hawaii, dengan ombak setinggi 10.6 m (35 kaki) melanda kepulauan Hawaii. Ombak setinggi 5.5 m (18 kaki) melanda Hounshu, Jepun sehari selepas gempa bumi berlaku. Selain itu, ombak tsunami juga melanda kawasan Kepulauan Filipina, Kepulauan Samoa, Kepulauan Easter hingga ke California.

Gempa kuat ini telah menyebabkan kawasan pantai Chile menaik 1.0 hingga 1.5 m. Dua hari selepas kejadian gempa tersebut, letusan gunung berapi telah berlaku di kawasan Volcan Puyhue, lalu mengeluarkan abu dan habuk volkanik sehingga setinggi 6,000m.



Dianggarkan , 1,655 orang terbunuh dalam kejadian ini, 3,000 orang cedera manakala lebih 2 juta penduduk Chile hilang tempat tinggal. Kerugian dianggarkan sebanyak $550 juta di selatan Chile, ombak Tsunami pula telah menyebabkan 61 orang terkorban, $75 juta kerugian dianggar di kepulauan Hawaii, 138 kematian dan $550 juta kerugian dicatatkan di Jepun, 32 kematian atau mangsa hilang di Filipina dan $500,000 kerugian dicatatkan di kawasan pantai barat Amerika.

Sesungguhnya, sesuatu kejadian bencana itu tidak lain hanya datang dari kekuasaan Allah SWT. Segala kejadian itu juga adalah salah satu misteri alam yang sukar dijangka oleh manusia. Kita, sebagai makhluk Allah, hanya mampu berusaha mengelakkannya dan mengkaji kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Dengan perkembangan teknologi yang kian pesat kini, jumlah kehilangan nyawa dapat kita kurangkan seterusnya kajian-kajain yang terperinci dapat dijalankan supaya kita belajar daripada sejarah yang telah berlaku.

Sumber: USGS Earthquake

Jumaat, 17 Mei 2013

Zaman Jura


Zaman Jura atau lebih dikenali sebagai Jurassic merupakan satu zaman dalam jangka masa geologi yang bermula dari 201 juta tahun sehingga 145 juta tahun. Ianya bermula selepas zaman Trias dan sebelum permulaan zaman Kapur (Cretaceous).

Zaman Jura juga dikenali sebagai zaman reptilia. 

Pada zaman ini, superbenua Pangaea mula berpecah kepada dua bahagian, benua Laurasia bergerak ke arah utara manakala benua Gondwana bergerak ke arah selatan. Impaknya, arus lautan dapat bergerak arah antara dua benua berkenaan, seterusnya merubah iklim kawasan daratan berkenaan yang sebelum ini panas dan kering menjadi lebih lembap akibat bawaan angin bayu lautan.




Di kawasan daratan pula, tumbuhan Trias (Triassic fauna) mula mengambil tempat dikebanyakkan kawasan yang sebelum ini merupakan kawasan gurun yang kering dan panas. Dinosauromorph dan crocodilomorph archosaurs mendominasi kawasan daratan dan menjadi pemangsa dominan pada masa berkenaan.

Zaman Jura memperlihatkan evolusi yang cukup penting apabila spesies burung dan cicak pertama muncul, manakala kawasan lautan dikuasai oleh hidupan reptilia marin seperti ichtyosaurs dan plesiosaurs.


Rujukan:  Condie, K.C. 2005. Earth as an Evoving planetary system. New York: Elsevier & Academic Press

Ribut Siklon Mahasen landa Bagladesh

Imej satelit radar yang diambil oleh Jabatan Pentadbiran Laut dan Satelit  Kebangsaan Amerika (NOAA) 
Imej yang dikeluarkan dalam laman facebook rasmi NOAA pada 16 Mei lalu menunjukkan kilat sambar menyambar diikuti kejadian gelombang graviti lautan yang menandakan permulaan kepada Siklon Tropika Mahasen.

Siklon Tropika Mahasen yang terbentuk di tengah lautan Hindi bergerak ke arah Bangladesh dan mendarat lalu melanda kawasan Patuakhali di Bangladesh, pada khamis lalu. Angin Siklon Mahasen yang melanda ini membawa sekali hujan lebat dan angin kencang. Setakat 17 Mei 2013, 6 orang dilaporkan terkorban manakala beratus yang lain hilang tempat tinggal (AP).

Gambar menarik ini diambil oleh satelit Suomi NPP semasa angin siklon sedang bergerak ke kawasan pantai timur India. 

Sumber: NOAA Satellite and Information Service facebook page.


Khamis, 16 Mei 2013

Zaman Trias


Zaman Trias atau dikenali sebagai sebagai Triassic merupakan salah satu jangka masa geologi yang bermula seawal 250 sehingga 200 Ma.

Zaman ini merupakan jangka masa pertama yang berlaku didalam era Mesozoik, dan berlaku diantara zaman Perm dan zaman Jura. Zaman Trias (205-250 Juta Tahun) lalu termasuk didalam era Mesozoik atau dikenali sebagai Zaman Reptilia. Pada masa Trias, Asia Tenggara, China Selatan, Tibet, Iran, Afghanistan dan Turki bergerak ke Gondwana iaitu ke arah utara. Dan pada akhir Trias, Malaya berlanggar dengan Indochina, China Selatan dengan China Utara, dan orogeni  Tsingling dan Pamir dengan Kazakhstan membentuk pergunungan Tien Shan.

Pada Trias Tengah, Sonomia berlanggar dengan Nevada barat dan California utara membentuk Orogeni Sonoma. Pada Akhir Trias, Stikinia berlanggar dengan bahagian barat Amerika Utara. Pada masa Trias juga, terdapat lapisan merah yang ditemui secara meluas.

Zaman ini boleh ditafsirkan sebagai satu zaman kebangkitan hidupan selepas episod kepupusan massa Perm-Trias. Proses kebangkitan hidupan ini mengambil masa sehingga ke pertengahan zaman Perm dimana hidupan biodiversiti khususnya yang terkesan daripada kepupusan berkembang sedikit demi sedikit.



Pada zaman ini, Therapsids dan archosaurs merupakan hidupan yang mendominasi kawasan daratan ketika itu. Therapsid merupakan moyang kepada hidupan mamalia pada masa kini, antara pemangsa terawal sebelum berevolusi menjadi pemangsa ganas pada zaman Jura, iaitu dinasour. Archosaurs pula ialah sejenis haiwan yang terbang dan mempunyai sayap, bersaiz lebih besar sedikit daripada burung dan makhluk terbang yang ada pada masa kini. Archosaurs pula dikaitkan dengan moyang kepada haiwan yang mempunyai kepak dan sayap pada masa kini sebelum ianya berevolusi kepada saiz yang lebih kecil.

Dari segi paleogeografi pula, pada masa Trias, sebuah superbenua telah terbentuk dan dinamakan 'Pangea'. Pangea merupakan gabungan beberapa benua , antaranya ialah benua Eurasia, benua Amerika Utara, benua Afrika, benua Amerika Selatan, benua India, benua Antartika dan benua Australia. Percantuman superbenua yang membentuk sebuah lautan yang terbentang luas yang diberi nama lautan Panthalassa.

    
Rujukan:  Condie, K.C. 2005. Earth as an Evoving planetary system. New York: Elsevier & Academic Press